04 September 2008

Jakim disaran lebih cekap

Berita Harian

KUALA LUMPUR: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) ditegur kerana mengeluarkan sebanyak 245 permohonan Sijil Halal hanya selepas enam tahun, melampaui tempoh yang ditetapkan iaitu empat bulan.

Laporan Ketua Audit Negara 2007 menyifatkan kelewatan itu sebagai ketara kerana mengikut Piagam Pelanggan Jakim, Sijil Halal perlu dikeluarkan dalam tempoh empat bulan selepas caj perkhidmatan diterima serta memenuhi segala prosedur dan syarat pengesahan ditetapkan.

Selain itu, semakan audit mendapati sebanyak 152 daripada 245 pemohon didapati gagal menjelaskan caj perkhidmatan dalam tempoh 21 hari seperti ditetapkan.

Berdasarkan Manual Prosedur Kualiti dikeluarkan Jakim, caj perkhidmatan perlu dijelaskan dalam tempoh 21 hari daripada tarikh terima tuntutan caj berkenaan.

Sementara itu, Manual Prosedur Persijilan Halal menyatakan kaedah pembayaran hendaklah dibuat dalam bentuk wang pos, kiriman wang atau draf bank atas nama Ketua Pengarah Jakim atau Jabatan atau Majlis Agama Islam Negeri.

Berikutan itu, Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang, menyarankan supaya Jakim memperkenalkan kaedah pembayaran caj perkhidmatan yang lebih fleksibel bagi memudahkan pemohon membuat bayaran.

“Bagaimanapun, pemeriksaan mendapati, tiada surat peringatan dikeluarkan Jakim kepada pemohon yang lewat menjelaskan bayaran,” katanya.

Keseluruhannya, sebanyak 573 permohonan atau 67.4 peratus sijil dikeluarkan dalam tempoh ditetapkan, manakala 31 permohonan atau 3.7 peratus dikeluarkan Sijil Halal sebelum pemohon menjelaskan bayaran caj perkhidmatan.

Selain itu, Ambrin berkata ketiadaan makmal sendiri menyebabkan Jakim terpaksa menggunakan khidmat makmal Jabatan Kimia untuk menguji produk atau ramuan yang mengandungi unsur haiwan atau manusia, alkohol, lemak dan minyak serta bahan yang berbahaya mengikut Akta Makanan 1983.

“Berdasarkan 10 contoh produk, Audit mendapati keputusan ujian dan analisis hanya diterima antara 120 hingga 183 hari dari tarikh ia dihantar ke Jabatan Kimia,” katanya.

No comments: