06 September 2008

Ketua pegawai dituduh rasuah

Berita Harian

Tertuduh didakwa terima RM3,000

KUCHING: Ketua Pegawai Tadbir Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran Sarawak dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuching semalam atas dakwaan meminta dan menerima wang berjumlah RM3,000 bagi melicinkan proses pembayaran pencen kepada waris seorang bekas guru.

Tertuduh Ali Noruddin Boying, 49, adalah Pegawai Tadbir Diplomatik (PTD) Gred 48, dituduh pada 5 Mei 2007 meminta wang RM6,000 daripada pengadu bagi membolehkan wang pencen arwah ibunya berjumlah RM20,000 diproses dengan cepat.

Pada 11 Mei 2007 pengadu membayar wang RM3,000 kepada tertuduh di sebuah restoran makanan segera di Satok sebagai upah menguruskan permohonan pencen berkenaan dengan perbuatan itu menjadi kesalahan mengikut Seksyen 10(a)(aa) Akta Pencegahan Rasuah 1997.

Ketika dua pertuduhan itu dibaca kepadanya, Ali, yang memakai kemeja merah jambu hanya tunduk dan diam sebelum dia mengaku tidak bersalah ke atas kedua-dua tuduhan serta meminta kes berkenaan dibicarakan.

Timbalan Pendakwaraya, Muhammad Sinti, kemudian meminta tertuduh hanya dilepaskan dengan wang jaminan RM10,000 beserta dua penjamin berikutan kes berkenaan adalah serius kerana membabitkan seorang kakitangan awam kanan.

Tertuduh yang diwakili peguam Abdul Rahman Mohamad Hazmi, meminta wang jaminan dikurangkan kepada RM5,000 saja berdasarkan mahkamah yang sama kelmarin memerintah bekas Penolong Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) Sarawak membayar jumlah sama bagi tuduhan menipu kerajaan Malaysia.

Abdul Rahman berkata, berdasarkan rekod tugas tertuduh selama 21 tahun adalah mustahil dia mahu melarikan diri dengan sambutan Aidilfitri akhir bulan ini.

Hakim Amelati Parnell kemudian menetapkan perbicaraan diteruskan pada 2 Februari 2009 dengan mahkamah menetapkan jaminan RM10,000 serta RM2,000 deposit bersama dua penjamin.

No comments: