04 September 2008

BPR boleh siasat

Berita Harian

PUTRAJAYA: Badan Pencegah Rasuah (BPR) boleh mengambil tindakan susulan terhadap setiap pendedahan dalam Laporan Ketua Audit Negara 2007 tanpa perlu menunggu laporan atau kebenaran Jabatan Audit Negara.

Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang, berkata laporan audit boleh diakses semua pihak termasuk orang awam dan media menerusi laman web Jabatan Ketua Audit Negara.

"Tidak ada sebab BPR tidak boleh akses (Laporan Ketua Audit Negara 2007). Lihat seperti tahun lalu. Seminggu selepas laporan audit dikeluarkan dan dilaporkan, ada tindakan susulan dan pendakwaan kes dibuat agensi berkenaan," katanya pada sidang media di pejabatnya di sini petang semalam.

Beliau ditanya sama ada BPR perlu menghubungi Jabatan Audit Negara untuk mengambil tindakan terhadap penyelewengan atau penyalahgunaan kuasa di jabatan atau agensi kerajaan seperti didedahkan dalam Laporan Ketua Audit Negara 2007.

Mengenai permintaan Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, supaya beliau menjelaskan takrifan tidak menunjukkan kemajuan ketara dalam rumusan aktiviti jabatan dan agensi kerajaan negeri itu tahun lalu, Ambrin berkata pemerhatian pihaknya merujuk aktiviti kerajaan negeri.

"Ia bermaksud tidak ada peningkatan tahap atau keadaan yang lebih baik berbanding tahun sebelumnya,” katanya.

No comments: