437 lot tanah PDRM belum dimajukan
Berita Harian
SEBANYAK 437 lot tanah Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan keluasan berjumlah 1,453.39 hektar masih tidak dibangunkan, termasuk 176 lot tanah yang haknya diperoleh sejak lebih 50 tahun lalu.
Kelemahan dalam pengurusan dan perancangan 17.2 peratus tanah yang tidak dibangunkan PDRM, termasuk 185 lot tanah berusia sehingga 41 tahun dan baki 76 lot tiada maklumat mengenai tarikh diperoleh itu didedahkan dalam Laporan Ketua Audit Negara 2007.
Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang, berkata keseluruhannya, PDRM memiliki 2,453 lot tanah dengan keluasan 8,429.91 hektar di seluruh negara dan hanya 18 lot tanah disenaraikan dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9).
Beliau berkata, bagaimanapun, tiada sebarang rancangan membangunkan baki 419 lot tanah atau 95.9 peratus.
"Pemeriksaan audit mendapati tanah lot yang sepatutnya menempatkan bangunan sama ada kediaman anggota atau bilik operasi dalam keadaan tidak terurus, sama ada tidak berpagar, tanpa papan tanda, dipenuhi longgokan sampah dan belukar.
"Antara lot yang terbiar adalah tapak IPD Maran yang dihentikan pada tahap 78 peratus pembinaan membabitkan keseluruhan projek RM11.6 juta apabila ia tidak selamat diduduki kerana terlalu hampir dengan rangkaian laluan kabel elektrik.
"17 lot tanah PDRM yang terbiar dan dicerobohi dijadikan penempatan setinggan, premis perniagaan, aktiviti penanaman atau tempat ibadat," katanya.
Ambrin berkata, 14 ruang pejabat terpaksa disewa membabitkan RM144,924 setahun kerana tidak memiliki bangunan sendiri sedangkan tanah sudah diperoleh untuk pembinaan bangunan itu.
"Bagi menjimatkan kos penyewaan, PDRM sepatutnya merancang untuk menggunakan tanah yang diperuntukkan dan kementerian bertanggungjawab perlu mengenal pasti keperluan kewangan yang mencukupi disediakan untuk membiayai projek tersebut," katanya.
Selain itu, katanya, semakan audit mendapati RM3.8 juta diperuntukkan untuk memagar 56 lot tanah membabitkan pejabat Polis Marin Wilayah Timur dan lima IPK di Kedah, Negeri Sembilan, Terengganu, Pulau Pinang dan Perak.
"Tidak ada peruntukan disediakan untuk memagar 437 lot tanah yang belum dibangunkan supaya tidak dicerobohi," katanya.
Mengenai tanah yang disewakan, sehingga Ogos tahun lalu, 27 penyewa lewat membayar sewa antara satu hingga 30 bulan membabitkan keseluruhan tunggakan sebanyak RM233,840 dengan Pulau Pinang mencatat jumlah tertinggi iaitu RM112,000, diikuti sewa ke atas 11 lot tanah di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dengan tunggakan RM94,200.
Selain itu, katanya, wujud perbezaan dari segi bilangan dan maklumat am mengenai tanah yang direkodkan Bukit Aman dengan dokumen dan surat hak milik di Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian (JKPTG) kerana kurang koordinasi antara JKPTG, kementerian dan PDRM, masalah kekurangan kakitangan dan Sistem eJKPTG yang tidak berfungsi.
No comments:
Post a Comment