04 September 2008

LHDN sasar kutipan cukai RM77 bilion

Utusan Online

KUALA LUMPUR 3 Sept. - Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) yakin dapat mencapai sasaran kutipan cukai taksiran sebanyak RM77 bilion tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutif merangkap Ketua Pengarah LHDN, Datuk Hasmah Abdullah berkata, ini berikutan sehingga 31 Ogos lalu, jumlah kutipan cukai meningkat antara 15 peratus hingga 20 peratus.

''Berbanding tempoh yang sama tahun lalu, terdapat peningkatan antara 15 peratus hingga 20 peratus.

''Bagi keseluruhan tahun lalu, LHDN berjaya mengutip sebanyak RM74.669 bilion cukai taksiran,'' katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas majlis perasmian Seminar Percukaian Kebangsaan 2008 oleh Timbalan Menteri Kewangan Kedua, Datuk Kong Cho Ha di sini hari ini.

Kira-kira 600 peserta daripada agensi kewangan menyertai seminar itu yang turut diadakan di 19 buah tempat seluruh Malaysia sebelum berakhir pada 25 September.

Selain itu,Hasmah memberitahu, sebanyak RM6 bilion lebihan cukai akan dibayar semula kepada pembayar pada tahun ini.

Tambah beliau, pembayaran balik itu akan mengambil masa antara sebulan hingga tiga bulan bergantung kepada cara borang cukai dihantar iaitu sama ada secara dalam talian atau manual.

Menurutnya, bagi mereka yang masih belum menerima bayaran balik, LHDN sedang meneliti setiap tuntutan yang dibuat memandangkan daripada kira-kira 400,000 tuntutan yang diterima, 50 peratus daripadanya tidak boleh diberi bayaran balik.

''Ada juga mereka yang mempunyai tunggakan cukai bagi tahun-tahun terdahulu dan bayaran balik ini akan digunakan untuk melangsaikannya,'' katanya.

Sementara itu, Cho Ha memberitahu, beliau dan LHDN risau akan kelembapan ekonomi pada masa sekarang yang memberi kesan kepada kutipan cukai pada tahun hadapan.

Jelasnya, peningkatan harga barang menyebabkan kuasa membeli berkurangan dan ini akan mengakibatkan keuntungan syarikat juga menurun.

No comments: