02 September 2008

Pengurusan Kewangan Majoriti Agensi Kerajaan Pada Tahap Baik, Kata Ketua Audit Negara

KUALA LUMPUR, 1 Sept (Bernama) -- Pengurusan kewangan majoriti agensi kerajaan di peringkat persekutuan dan negeri adalah baik, demikian rumusan Jabatan Audit Negara dalam Laporan Ketua Audit Negara Tahun 2007.

Menurut kenyataan Ketua Audit Negara hari ini, daripada 212 agensi yang diberi penilaian Indeks Akauntabiliti (IA), sebanyak 4.7 peratus mendapat penarafan sangat baik, 66.5 peratus di tahap baik manakala 28.7 peratus di tahap memuaskan.

Agensi di peringkat persekutuan yang berjaya mendapat tahap prestasi pengurusan kewangan yang sangat baik ialah Jabatan Perdana Menteri, Jabatan Perkhidmatan Awam, Unit Penyelarasan dan Pelaksanaan (Jabatan Perdana Menteri), Jabatan Tenaga Kerja Sarawak, Jabatan Peguam Negara dan Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU).

Badan berkanun persekutuan yang mempunyai prestasi pengurusan kewangan sangat baik pula ialah Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Bhd dan Perbadanan Insurans Deposits Malaysia manakala agensi di peringkat negeri pula ialah Perbadanan Johor dan Jabatan Geosains & Mineral Pahang.

Mulai tahun 2007, Jabatan Audit Negara telah melaksanakan Sistem Penarafan Audit yang berasaskan kepada IA.

Ia dilaksanakan untuk menilai sejauh mana pengurusan kewangan agensi telah mematuhi segala undang-undang dan peraturan kewangan kerajaan.

Aspek pengurusan kewangan yang diberi penilaian adalah seperti kawalan pengurusan operasi, kawalan bajet, kawalan terimaan, kawalan perbelanjaan, pengurusan kumpulan amanah, akaun amanah/deposit, pengurusan aset dan inventori, pengurusan pelaburan, pengurusan pinjaman dan penyata kewangan.

Menurut kenyataan itu, dengan melaksanakan penarafan IA itu, agensi diberitahu mengenai aspek pengurusan kewangan mereka yang perlu diperbaiki.

"Sekiranya ketua agensi melaksanakan langkah-langkah penambahbaikan mereka dengan penuh komitmen dan konsisten, prospek mereka mendapat penarafan lebih baik amatlah cerah," menurut kenyataan itu.

Menerusi sistem penarafan IA itu, agensi kerajaan juga boleh menjadikan ia sebagai tanda aras semasa menilai kemajuan usaha penambahbaikan dalam pengurusan kewangan mereka dari semasa ke semasa.

Jabatan Audit Negara juga telah menyediakan buku bertajuk "Kecemerlangan Pengurusan Kewangan Dari Perspektif Jabatan Audit Negara," dengan kerjasama Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) yang akan diedarkan kepada semua warga perkhidmatan awam yang terlibat dalam pengurusan kewangan.

Menurut kenyataan itu, Ketua Audit Negara telah mengeluarkan sijil audit tanpa teguran terhadap penyata kewangan 115 badan berkanun persekutuan, 44 badan berkanun negeri negeri dan 47 penyata kewangan pihak berkuasa tempatan.

Sijil audit berteguran pula telah dikeluarkan terhadap sembilan akaun badan berkanun persekutuan, tiga penyata kewangan badan berkanun negeri dan dua penyata kewangan pihak berkuasa tempatan.

Menurut kenyataan itu, penyediaan penyata kewangan bagi kerajaan persekutuan, kerajaan negeri dan badan berkanun persekutuan secara keseluruhannya adalah bertambah baik.

"Bagaimanapun, bagi penyata kewangan Badan Berkanun Negeri dan Pihak Berkuasa Tempatan masih terlalu awal untuk memberi sebarang pandangan mengenai kerana tidak semua penyata kewangan telah diserahkan untuk pengauditan," menurut kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, terdapat kelewatan penyerahan penyata kewangan badan berkanun negeri dan pihak berkuasa tempatan bagi tahun 2006 dan 2007 untuk pengauditan.

Antara faktor kelewatan penyerahan penyata kewangan itu ialah rekod perakaunan yang tidak diselenggara dengan sempurna.

Bagi akuan PBT pula kelewatan itu berpunca dari Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171) yang tidak menetapkan secara khusus tempoh penyerahan untuk pengauditan.

Sebanyak 57 pengauditan prestasi telah dilaksanakan di peringkat persekutuan dan 76 di peringkat negeri bagi menilai sejauh mana aktiviti dan projek kerajaan yang di rancang dan menilai keberkesanan projek berkenaan.

Jabatan Audit menggesa agensi kerajaan mengambil iktibar daripada kelemahan dalam perancangan, pelaksanaan dan pemantauan terhadap aktiviti yang dibangkitkan dalam laporan audit prestasi yang disediakan.

Menurut kenyataan itu, kebanyakan isu yang dibangkitkan dalam Laporan Ketua Audit Negara tahun 2006 telahpun diselesaikan.

-- BERNAMA

No comments: