Selatan: UKM johan KIK peringkat IPTA 2007
Berita Harian
JOHOR BAHRU: Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) muncul johan keseluruhan dan memenangi Anugerah Fasilitator Terbaik pada Konvensyen Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK) Peringkat Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) 2007 kali Ke-4 di sini, baru-baru ini.
UKM yang merangkul lima anugerah dalam pertandingan itu dengan menghantar empat pasukan untuk menewaskan 16 pasukan dari tujuh universiti lain berhasil membawa pulang dua piala iringan, trofi dan wang tunai berjumlah RM7,000.
Universiti berkenaan menjadi Johan dan Naib Johan bagi kategori Teknikal melalui pasukannya masing-masing dikenali G2 dan H-Care, Naib Johan kategori Pengurusan oleh Vetri, Anugerah Pembentang Terbaik kategori Teknikal (H-Care) dan Anugerah Inovasi Terbaik kategori Pengurusan (Vetri).
Universiti Teknologi Malaysia (UTM) pula meraih tiga anugerah dan membawa pulang satu piala iringan, trofi dan wang tunai berjumlah RM4,000 apabila menjadi johan kategori Pengurusan menerusi pasukannya, Cheetah; tempat ketiga kategori Teknikal (APQ Team) dan Anugerah Pembentang Terbaik kategori Pengurusan (Cheetah)
Tempat ketiga Kategori Pengurusan dan Anugerah Inovasi Terbaik Kategori Teknikal pula masing-masing dimenangi pasukan Pelangi dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan E-Smart dari Universiti Sains Malaysia (USM).
Hadiah disampaikan Naib Canselor UTM, Tan Sri Prof Dr Mohd Zulkifli Mohd Ghazali pada majlis penutup konvensyen KIK yang berlangsung selama dua hari berakhir Khamis lalu di Pulai Spring Resort, di sini.
No comments:
Post a Comment