Guru Sabah, Sarawak enggan ke pedalaman
Berita Harian
ISU kekurangan guru di pedalaman Sabah dan Sarawak dijangka terus berlarutan kerana anak watan kedua-dua negeri terbabit sendiri tidak mahu bertugas di situ khususnya selepas tamat pengajian.
Pengerusi Jawatankuasa Bersama Kesatuan Guru-Guru Sabah-Sarawak, William Ghani Bina ketika mendedahkan perkara itu, berkata mereka yang terbabit bukan saja guru baru, malah kalangan yang dinaikkan pangkat sebagai penolong kanan.
Katanya, kajian mendapati kebanyakan mereka yang menolak adalah guru dari bandar atau luar bandar dan kebanyakannya memberi alasan kononnya tempat di hantar terlalu jauh serta mundur.
“Kalau dulu guru Semenanjung enggan berbuat demikian kerana alasan serupa, tapi kita masih boleh menerimanya. Namun sekarang ini, semakin ramai anak watan kedua-dua negeri itu sendiri yang menolak dengan menyatakan alasan serupa.
“Kita tidak boleh mengharapkan sepenuhnya guru luar membantu, sebaliknya tanggungjawab itu perlu dipikul anak watan bersesuaian usia kemerdekaan negara yang mencapai 50 tahun,” katanya kepada Berita Harian, baru-baru ini.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas masalah kekurangan guru di pedalaman Sabah dan Sarawak yang dilaporkan terus berlarutan meskipun negara sudah pun merdeka selama 50 tahun.
Sebelum ini, kebanyakan tenaga pendidik yang dihantar ke Sabah dan Sarawak berasal dari Semenanjung, sebelum ditampung anak watan kedua-dua negeri itu sejak beberapa tahun lalu.
Mengulas lanjut, William yang juga Presiden Kesatuan Guru-Guru Sarawak dan Naib Pengerusi Majlis Bersama Kebangsaan (Pendidikan) berkata, kerajaan perlu mencari pendekatan lebih sesuai bagi menangani perkara itu.
Beliau berkata, jurang perbezaan tahap pendidikan antara kawasan pedalaman dan bandar di Sabah serta Sarawak masih tinggi, sekali gus memerlukan sokongan semua pihak bagi memperbaikinya.
Katanya, pihaknya gembira sebab kerajaan sudah pun memulakan langkah ke arah menangani masalah itu dengan menjadikan Institut Pendidikan Guru di Tawau dan Miri khusus bagi melatih guru untuk dibekalkan kepada sekolah di Sabah dan Sarawak.
No comments:
Post a Comment