Penstrukturan semula agensi bantu warga tani
Berita Harian
KEMENTERIAN Pertanian dan Industri Asas Tani membayangkan semua agensi di bawahnya bakal menjalani proses penstrukturan semula supaya menjadikan mereka lebih efektif membela nasib petani.
Menterinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata pihaknya mempersoalkan sejauh mana pencapaian agensi itu dalam membimbing dan membangunkan petani yang majoritinya orang Melayu.
"Adakah kita mahukan satu kajian semula dilakukan, penambahbaikan, dirombak struktur dan operasinya, dasar dan fungsinya, supaya agensi berkenaan akan lebih efektif, menepati sasaran dan sesuai dengan zamannya supaya masyarakat petani Melayu kita akan lebih terbela," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama bertajuk 'Anjakan Paradigma: Dalam Transformasi Sektor Pertanian' pada Konvensyen Pertanian Kebangsaan 2007 di Allson Klana, di sini, semalam.
Muhyiddin berkata, menyedari bahawa sektor pertanian memperlihatkan pengaruh yang kuat untuk pembangunan sosio-ekonomi negara terutama sekali untuk pembasmian kemiskinan dan meningkatkan taraf sosio-ekonomi orang Melayu, maka lahirlah trend yang mendalam bagi kerajaan menubuhkan agensi baru untuk menguruskan pembangunan pertanian yang spesifik.
Katanya, agensi seperti Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda), Felcra dan rancangan tanah baru yang lain serta agensi yang berorientasikan penyelidikan, perkhidmatan dan pemasaran seperti Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama), Institut Penyelidikan dan Pembangunan Pertanian Malaysia (Mardi) dan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) ditubuhkan yang dipertanggungjawabkan membantu menangani masalah dan kekurangan di kalangan petani.
No comments:
Post a Comment