29 October 2007

Rela dikaji naik taraf jadi jabatan penuh

Berita Harian

KANGAR: Rela mungkin dijadikan sebuah jabatan bagi menjenamakan semula pasukan sukarelawan itu, kata Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Datuk Seri Mohd Radzi Sheikh Ahmad.

Beliau berkata, perkara itu tidak mustahil, malah pasukan sukarelawan yang mempunyai hampir setengah juta anggota itu sudah layak ditingkatkan tarafnya sebagai sebuah jabatan.

"Cadangan sudah dibuat untuk mewujudkan Jabatan Rela tetapi ia masih pada peringkat awal," katanya.

Mohd Radzi yang juga Ahli Parlimen Kangar berkata, sudah sampai masa Rela dijadikan sebuah jabatan dalam usaha menjenamakan semula pasukan sukarelawan itu, namun ia bergantung kepada keputusan muktamad kerajaan.

Beliau berkata, kajian sedang dijalankan dan mengambil masa agak lama kerana kerajaan tidak mahu tergesa-gesa membuat keputusan mengenainya.

Katanya, pasukan Rela juga mempunyai keupayaan istimewa mendekati masyarakat tempatan kerana mereka terdiri daripada kalangan penduduk setempat.

"Peranan Rela sudah diiktiraf oleh masyarakat apatah lagi dengan keupayaan membanteras pendatang asing selain membantu bantuan kecemasan dan kawalan keselamatan. Rela sudah ditubuhkan sejak 36 tahun lalu, katanya.

Mengikut maklumat Ibu pejabat Rela, sebaik diberi kuasa memeriksa dan menahan pendatang tanpa izin pada 1 Februari 2005, pasukan itu menahan 8,244 orang pada 2005.

Pada tahun berikutnya, angkat itu meningkat 25,045 orang serta 24,770 sepanjang lapan bulan tahun ini.

Mohd Radzi yang berpuas hati dengan fungsi anggota Rela berkata, mereka bukan sekadar berkorban masa dan tenaga tetapi juga wang ringgit untuk membeli pakaian seragam kerana kerajaan hanya menyediakan pakaian seragam untuk 30,000 anggota.

Katanya, kementerian akan turut membentuk skuad elit Rela yang antara lain akan menjadi barisan hadapan pasukan sukarela itu dalam menangani kes tertentu.

"Setiap anggota skuad elit itu mempunyai kebolehan tersendiri termasuk menguasai bahasa asing dan berkeupayaan dalam kemahiran tertentu," katanya sambil menambah penubuhan skuad elit akan dimulakan di Kuala Lumpur.

Bernama

No comments: