30 October 2007

Konsep lelong atasi gejala rasuah

Utusan Online

Oleh SUBAHIR TAIB

TIDAK diketahui dari mana pihak Badan Pencegah Rasuah (BPR) memperoleh idea baru untuk mencadangkan kepada kerajaan supaya mengkaji untuk memasukkan klausa dalam semua dokumen kontrak kerajaan bagi menjelaskan tentang kesalahan di bawah Akta Pencegahan Rasuah 1997.

Apa yang penulis ingat semasa bekerja sebagai seorang arkitek di firma di United Kingdom dulu ia telah lama dilaksanakan untuk sektor pembinaannya serta melibatkan sektor swasta.

Yang pasti, ia tidak dipaparkan sebagai klausa atau dimasukkan di bawah syarat-syarat kontrak seperti yang dicadangkan oleh pihak BPR, tetapi diwujudkan di dalam ruangan khas di muka pertama dokumen kontrak. Malah ia dibuat dalam bentuk pernyataan amaran kerajaan yang dianggap sama konsepnya dengan pernyataan amaran kerajaan Malaysia mengenai bahaya merokok yang tertera di tepi kotak rokok.

Tentu ada sebab khusus mengapa ia diletak sedemikian. Bagi penulis, ia tidak lain, untuk memastikan pihak-pihak yang berkontrak membacanya dan memperakukan mereka telah awal-awal diingatkan mengenai akta berkenaan. Sementara hujah undang-undangnya ialah, manusia perlu sentiasa diingatkan daripada melakukan perkara -perkara yang menyalahi undang-undang atau membahayakan dirinya dan orang lain pada masa dan tempat yang sesuai. Apakah cadangan selepas ini akan dikaji lagi? Tepuk dada tanya selera.

Satu lagi cadangan pihak BPR yang disiarkan oleh akhbar-akhbar ialah saranan supaya kerajaan melakukan kajian menyeluruh ke atas sistem pembelian terus yang diamalkan oleh jabatan dan agensi kerajaan selama ini.

Seperti cadangan di atas, penulis tidak tahu apa yang perlu dikaji lagi kerana alasan penyelesaiannya ialah, mengembalikan sistem kontrak pusat atau central contract di seluruh negara yang pernah diamalkan sebelum awal tahun 80-an dahulu. Sistem tersebut memperuntukkan peraturan tertentu yang mengehadkan jumlah harga bagi pembelian terus yang perlu dipatuhi oleh jabatan dan agensi kerajaan dan hanya membenarkan ketua pengarah meluluskannya.

Alasan tidak cukup masa dan sumber tidak boleh diterima, khasnya bagi kes BPR kerana isu penyelewengan di kalangan pegawai kerajaan yang dikaitkan dengan sistem belian terus bukan isu baru untuk dijadikan alasan. Sementara aspek kajian dianggap sebahagian daripada keperluan kerja pencegahannya dari segi peningkatan kualiti dan integriti pencegahan, khasnya. Di mana dalam konteks penyelesaian isu tempatan semasa, maksud menyeluruh tidak dapat tidak perlu meliputi kajian dari sudut Islam yang sesuai. Dan, setuju atau tidak, kajian dari sudut Islam yang sesuai dalam konteks cadangan BPR di atas ialah sudut muamalat Islam melibatkan hukum jual beli Islam secara lelong yang disesuaikan dengan konteks moden. Mungkin petikan daripada penulisan kertas kerja bertajuk " Mekanisme Kontrak dan Konsep Syariah” berikut oleh ulamak dan ahli akademik tempatan dapat menjelaskannya.

Penjelasan lelong adalah suatu yang sering dilakukan sama ada ke atas barangan yang kecil atau besar nilainya. Islam seperti juga undang-undang Inggeris mengharuskan lelong ini. juga sebiji cawan yang kami gunakan ketika

Penjualan atau pembelian secara tender adalah satu bentuk yang baru yang selalu dilakukan sejak kebelakangan ini di dalam urusan-urusan perdagangan. Ia sebenarnya lanjutan daripada sistem penjualan lelong. Oleh yang demikian ia adalah sama dengan apa yang berlaku di dalam jualan lelong dan segala prinsip di dalam jualan akan digunakan di dalam jualan secara tender ini juga.

Komen ringkas penulis ialah, lelong atau tender dalam konteks moden perlu juga dilihat sebagai satu proses pemerolehan untuk mendapatkan harga yang bukan sahaja rendah malah mempunyai nilai harga, khasnya bagi pembelian menggunakan dana awam.

Tetapi, dari segi kekuatan pihak BPR melakukan siasatan terhadap penyelewengan melakukan kontrak jual beli oleh pegawai kerajaan, bagaimanapun dari sudut muamalat Islam jika dikatakan bahawa mereka hanya mampu melakukan siasatan terhadap kes kontrak beli di bawah kategori jual beli mutlak. Tetapi ia tidak dalam kes kontrak jual beli yang dilakukan dalam keadaan belum wujud ketika akad berdasarkan prinsip atau kontrak al-Istisnaa’ Islam atau Melayunya kontrak tempahan melibatkan projek bangunan, jalan dan sebagainya.

* PENULIS ialah Pengurus Projek Kontraktor Kelas 'A' dan Penyelidik Bersekutu dengan Projek Pengurusan Pembangunan Islam (ISDEV).

No comments: