31 October 2007

14 kakitangan awam salah guna kuasa disiasat

Berita Harian

Oleh Johari Ibrahim

ALOR STAR: Badan Pencegah Rasuah (BPR) sedang menyiasat pelbagai dakwaan penyelewengan dan salah guna kuasa membabitkan 14 kakitangan awam di negeri ini.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Syed Unan Mashri Syed Abdullah, berkata siasatan itu membabitkan 14 kes yang laporannya diterima BPR daripada pelbagai sumber sejak lebih setahun lalu.

"Siasatan itu membabitkan kakitangan awam kerajaan negeri dari pelbagai peringkat termasuk pegawai, kakitangan Pejabat Daerah, Pejabat Tanah dan Galian dan pihak berkuasa tempatan," katanya ketika dihubungi Berita Harian, semalam.

Beliau berkata, antara kesalahan yang disiasat termasuk membabitkan tanah, salah guna kuasa selain menerima rasuah.

Katanya, sebahagian kakitangan yang disiasat itu digantung kerja, manakala sebahagian lagi masih menunggu tindakan lanjut BPR.

Beliau berkata, pentadbiran kerajaan negeri tidak berkompromi dengan isu rasuah atau salah guna kuasa di kalangan kakitangannya untuk menjaga kewibawaan kerajaan.

Syed Unan diminta mengulas ucapannya berkaitan tindakan disiplin terhadap kakitangan awam Kedah ketika majlis makan malam bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, Ahad lalu.

Beliau berkata, dalam kes yang sukar dibuktikan di mahkamah, kakitangan terbabit tetap dikenakan tindakan disiplin dalaman termasuk potong gaji atau diturunkan pangkat.

Syed Unan berkata, 18 kes tatatertib dikenakan antara 2005 hingga tahun ini termasuk 10 penjawat awam dibuang kerja.

No comments: