BPR bawa untung -- GLC, agensi dipantau raih pendapatan berganda
Utusan Online
Oleh Norila Daud
KUALA LUMPUR 2 Nov. – Langkah pemantauan yang dilakukan oleh para pegawai Badan Pencegah Rasuah (BPR) yang ditempatkan di beberapa jabatan dan agensi kerajaan telah membolehkan jabatan dan agensi itu meraih keuntungan berlipat kali ganda.
Timbalan Ketua Pengarah BPR, Datuk Abu Kassim Mohamed berkata, ada agensi kerajaan berjaya meraih keuntungan dalam tempoh yang singkat tidak lama selepas BPR menempatkan pegawai mengawasi agensi itu.
Beliau memberikan contoh pemantauan selama dua tahun di Amanah Raya Berhad telah membolehkan agensi tersebut meraih keuntungan daripada RM3 juta pada 2004 kepada RM19 juta pada 2005 dan RM40 juta pada 2006.
‘‘Ekoran kejayaan itu, pegawai BPR juga telah diletakkan di Tenaga Nasional Berhad (TNB) berikutan banyak kes kehilangan kabel TNB dilaporkan berlaku.
“Sejak pegawai BPR diletakkan di TNB, sebanyak lapan pegawai syarikat milik kerajaan itu telah ditahan atas kesalahan rasuah,’’ katanya.
Abu Kassim berkata demikian ketika membentangkan kertas kerja bertajuk Peranan BPR Dalam Mempromosi Bebas Rasuah di Sektor Swasta pada Seminar Perkongsian Awam-Swasta Dalam Membanteras Rasuah dan Memelihara Integriti di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.
Seminar itu dirasmikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz.
Menurut Abu Kassim, permintaan menggunakan perkhidmatan pegawai BPR di jabatan, agensi dan syarikat milik kerajaan (GLC) semakin banyak sejak kebelakangan ini.
Untuk meningkatkan usaha membanteras rasuah, beliau memberitahu, pihaknya akan menghantar beberapa pegawai bersara bekerja secara kontrak di agensi-agensi kerajaan yang memerlukan.
Beliau memberitahu, tidak lama lagi BPR akan mengadakan perkongsian bijak dengan Pos Malaysia Berhad, Telekom Malaysia Berhad, Institut Sistem Mikro Elektrik Malaysia (Mimos) dan Amanah Raya Berhad bagi mewujudkan suasana bebas rasuah di syarikat dan agensi itu.
Selain itu, BPR juga bekerjasama dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pihak swasta untuk menggariskan secara komprehensif etika pekerjaan, menerapkan profesionalisme di kalangan kakitangan dan mengukuhkan integriti institusi masing-masing.
Sementara itu, Ketua Pengarah BPR, Datuk Seri Ahmad Said Hamdan memberitahu sidang akhbar pada seminar itu bahawa peningkatan kesedaran di kalangan orang ramai tentang bahaya rasuah memudahkan BPR menjalankan tugas.
Menurut beliau, sejak dua tahun lalu sebanyak 50 peratus daripada orang yang menawarkan (pemberi) rasuah ditangkap berbanding sebelum ini hanya penerima rasuah yang didakwa.
‘’Saya gembira kerana kerjasama di kalangan orang ramai semakin baik dan ini memudahkan kami melaksanakan tugas,’’ katanya.
Ditanya apakah ada lagi tangkapan selepas selepas penahanan dan pendakwaan ke atas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Datuk Ramli Yusuff, Ahmad Said hanya menjawab: ‘’Saya tidak mahu menakutkan orang, tunggulah... tentu ada.’’
Ditanya sama ada BPR boleh bertindak sekiranya terdapat perbuatan rasuah dalam parti-parti politik, Ahmad Said menegaskan, tindakan membanteras rasuah diambil tanpa mengira siapa.
No comments:
Post a Comment