30 October 2007

Indeks Akauntabiliti elak pembaziran – Ambrin

Utusan Online

JOHOR BAHRU 29 Okt. – Pelaksanaan Indeks Akauntabiliti (AI) bagi sektor awam mulai tahun depan akan menggalakkan usaha penambahbaikan pengurusan kewangan secara berterusan seterusnya mengelakkan sebarang bentuk pembaziran atau penyelewengan.

Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang berkata, indeks berkenaan akan membolehkan setiap kementerian, jabatan dan agensi kerajaan sama ada persekutuan mahupun negeri memiliki penanda aras terhadap prestasi pengurusan.

“Saya percaya pelaksanaan AI akan membantu meningkatkan tahap akauntabiliti pengurusan kewangan dalam sektor awam seterusnya, meningkatkan lagi kualiti sistem penyampaian perkhidmatan awam,” katanya.

Beliau berucap pada majlis perasmian Hari Audit Semalaysia 2007 yang disempurnakan oleh Speaker Dewan Negeri Johor, Datuk Mohd. Ali Hassan di sini hari ini.

“Melalui AI, kita akan dapat menilai pengurusan kewangan bukan sahaja antara kementerian atau jabatan tetapi trend pencapaian mereka untuk beberapa tahun,” katanya.

Sementara itu beliau menambah, pengambilalihan pengurusan air negeri oleh kerajaan Persekutuan diyakini dapat mengurangkan beban hutang tertunggak yang dialami oleh kebanyakan kerajaan negeri.

Berdasarkan perangkaan September lalu, hutang tertunggak kerajaan negeri kepada Kerajaan Pusat meningkat RM290.86 juta atau 10.9 peratus kepada RM2.96 billion sehingga akhir tahun lepas.

Daripada jumlah itu, 90.5 peratus atau RM2.68 billion adalah tunggakan pinjaman Johor, Kedah, Negeri Sembilan, Pahang, Selangor dan Terengganu.

Jelas beliau, dengan peredaran semasa, tugas Jabatan Audit Negara kini semakin mencabar kerana ia mewakili harapan masyarakat untuk memastikan wang awam diuruskan dengan baik.

Sehubungan itu, katanya, pihak jabatan sentiasa mengadakan kerjasama dengan pegawai-pegawai Unit Audit Dalam di jabatan-jabatan dan agensi bagi membantu mereka dalam tadbir urus organisasi.

“Sungguhpun kami mempunyai tanggungjawab yang berbeza, namun matlamat kami adalah sama iaitu memastikan wujudnya akauntabiliti dan integriti dalam penggunaan wang awam serta menggalakkan pentadbiran yang cekap dan berhemat,” katanya.

Di samping itu, beliau menjelaskan, tugas Jabatan Audit Negara kini bukan terhad kepada mengesahkan penyata kewangan atau menjalankan pengauditan prestasi malah turut melibatkan audit keselamatan bangunan kerajaan, sistem penyenggaraan aset dan fasiliti negara.

No comments: