Syor guru disiplin tak perlu mengajar
Berita Harian
Oleh Amin Ridzuan Ishak
Tanggungjawab pantau pelajar tugas berat: NUTP
KUALA LUMPUR: Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) menyambut baik langkah Kementerian Pelajaran mengurangkan masa mengajar guru disiplin kepada 15 waktu seminggu berbanding 28 hingga 30 waktu seminggu sekarang.
Bagaimanapun, mereka menyifatkan langkah itu belum memadai kerana pengurangan masa mengajar tidak akan mengurangkan bebanan guru berkenaan ketika memantau disiplin pelajar.
Presiden NUTP, Anuar Ibrahim, berkata pihaknya mahu supaya Kementerian Pelajaran mengeluarkan arahan supaya guru disiplin tidak perlu mengajar atau sekurang-kurangnya menetapkan waktu mengajar kepada maksimum lima waktu.
“Permintaan kami ada asasnya kerana kajian kami mendapati kebanyakan guru yang prestasinya kurang memuaskan adalah dari kalangan guru disiplin disebabkan pelbagai faktor.
"Antara faktor utama adalah tidak dapat memberikan fokus sepenuhnya ketika mengajar kerana perlu memikirkan tugas memantau disiplin pelajar terutama sekolah yang mempunyai rekod disiplin kurang baik. Mereka (guru disiplin) keliru ketika mengajar," katanya ketika dihubungi Berita Harian di sini, semalam.
Beliau dilaporkan berkata, bebanan tugas mengajar yang sama dengan guru lain menyebabkan guru besar gagal mengawal disiplin pelajar seperti yang diharapkan dan ini menyebabkan ada guru tidak sanggup menjadi guru disiplin.
Jika peraturan baru mengurangkan waktu mengajar disiplin diperkenalkan, mereka hanya perlu mengajar kira-kira 10 jam seminggu berbanding 18 hingga 20 jam sekarang.
Anuar berkata, faktor lain kepada permintaan mereka itu adalah tugas sampingan perlu dilakukan guru disiplin yang kadangkala menyamai tugas seorang kerani sekolah.
No comments:
Post a Comment