31 October 2007

Gaji baru 25,000 juruteknik dikaji

Berita Harian

Oleh Mohd Azis Ngah

Skim dinaik taraf kerana majoriti penjawat awam gred J17 lulusan diploma politeknik

KUALA LUMPUR: Nasib kira-kira 25,000 pembantu teknik dan juruteknik di seluruh negara bakal berubah selepas kerajaan bersedia membincangkan dan mengkaji semula tangga gaji mereka mengikut Skim Juruteknik yang tidak dinaik taraf sejak 1989.

Menteri Kerjaraya, Datuk Seri S Samy Vellu, berkata kajian mengenai skim lama itu akan dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet sebelum ia diserahkan kepada Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Sidek Hassan untuk dipertimbangkan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

Berdasarkan skim lama, juruteknik dan pembantu masih menerima tangga gaji mengikut kelayakan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), sedangkan sebahagian besar kakitangan awam dalam bidang berkenaan mengikut gred J17 adalah lulusan politeknik.

Beliau percaya JPA akan memberi pertimbangan sewajarnya berhubung isu itu tetapi pada masa sama meminta pekerja awam membuktikan kemampuan mereka setaraf dengan kenaikan tangga gaji yang bakal diperoleh.

Katanya, peluang kenaikan pangkat daripada skim perkhidmatan dalam kumpulan rendah kepada skim kumpulan lebih tinggi mengutamakan pengalaman dan kebolehan.

"Kita boleh menilai kelayakan diri sendiri sama ada bertaraf global atau tidak dan mesti berusaha membaikinya.

"Adalah penting bagi kita terus belajar dan menimba ilmu baru dan amalkan konsep pembelajaran seumur hidup. Saya sendiri sudah berumur 71 tahun masih lagi membaca untuk menambah ilmu. Kita perlu mempunyai nilai tambah dalam perkhidmatan.

"Apabila kita bincang skim itu, kakitangan awam perlu buktikan ia setimpal dengan apa yang akan mereka nikmati kerana kerajaan memang memerlukan lebih ramai pakar tempatan untuk mengurangkan kebergantungan kepada pakar asing," katanya, semalam.

Sebelum itu, beliau merasmikan Persidangan Perwakilan Tiga Tahunan Kesatuan Perkhidmatan Teknik Semenanjung Malaysia (MTSU) ke-25. Turut hadir, Presiden MTSU, Shuhaimi Othman dan Setiausaha Eksekutif MTSU, Datuk Mohd Yusop Harmain Shah.

Mengulas permintaan MTSU supaya kerajaan mewujudkan sebuah institusi latihan menggantikan Institut Kerja Raya Malaysia (Ikram) yang diswastakan, Samy berkata, kerajaan memang akan terus melatih tenaga kerja mahir tempatan bagi mewujudkan pekerja bertaraf dunia.

"Tenaga kerja negara perlu mempunyai keupayaan mereka cipta untuk lebih berdaya saing kerana ia adalah inovasi yang akan mendorong semua usaha dalam segenap aspek penghidupan ekonomi dan sosial.

"Kita perlu berupaya menangani perkembangan teknologi yang makin pesat dan sentiasa berubah kerana pengetahuan semasa latihan akan cepat menjadi ketinggalan zaman. Ilmu boleh dicari dan ditimba di mana-mana saja," katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai tindakan Parti Progresif Penduduk (PPP) yang dianggap mengganggu serta menggugat MIC, Samy berkata beliau menganggap isu berkenaan sebagai tidak langsung memberi ancaman kepada parti.

"Jika mereka cakap ada 30,000 ahli, jangan lupa MIC ada 600,000 ahli. Ini macam nyamuk, suka kacau. Dalam politik, macam-macam boleh berlaku tetapi kita tegaskan, MIC akan tetap berpegang pada konsep permuafakatan dalaman yang diamalkan Barisan Nasional (BN).

"Mana-mana parti komponen BN pun mesti amalkan konsep ini dan patuh kepada arahan supaya sentiasa bermuafakat," katanya.

6 comments:

switch said...

tunggu dan tunggu.............
sampai pencen baru nak bagi kot..

Anonymous said...

Apa dah jadi dengan pengumuman ini. dah hampir dua tahun kami masih menunggu.

Anonymous said...

TAK KAN JURUTEKNIK J17 AJE
MACAM MANA PULAK DENGAN JAWATAN PELUKIS PELAN J17? KAMI PUN LULUSAN POLITEKNIK..SAMPAI BILA GAJI MESTI DIBAYAR IKUT LULUSAN SPM?

Anonymous said...

KINI DAH MASUK TIGA TAHUN TAK ADA CERITA PUN PASAL NAIK GRED NIE APATAH LAGI NAIK GAJI.......

Anonymous said...

kami ni tukang R11.tangga gaji bagi naik la dengan setaraf dengan kerja dibuat..kerja selenggara lebih kurang je juruteknik pun..speat kje pun sama..dengan ada gak kelulusan dip ketukangan..lgpn awam gak..bila dalam temuduga teguk spm gak..bagi la naik gaji sikit....

Anonymous said...

Bajet dah di bentangkan tak menyentuh puh langsung bab gaji katitangan awam yang dinamakan juruteknik ,kajian dah makan banyak tahun tak ada perubahan langsung, time base tunggu 15 tahun baru layak KUP 22, untung cikgu juga............