30 October 2008

Cuepacs terima aduan pekerja tamat kontrak

Berita Harian

KUALA LUMPUR: Cuepacs sudah menerima aduan daripada kakitangan kontrak yang bakal ditamatkan perkhidmatan akhir tahun ini, antaranya Jabatan Bekalan Air (JBA) Negeri Sembilan dan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kelantan.

Presidennya, Omar Osman, berkata pengerusi Cuepacs negeri sudah diarah menyediakan laporan mengenai aduan penamatan perkhidmatan kakitangan kontrak di negeri masing-masing untuk dibincangkan pada mesyuarat Majlis Kongres Cuepacs di Kota Kinabalu, pertengahan bulan depan.

Sehubungan itu, katanya, Cuepacs memegang jaminan Kementerian Sumber Manusia bahawa tidak ada kakitangan awam kontrak akan ditamatkan perkhidmatan mereka akhir tahun ini.

"Kita mahu lebih banyak kementerian mencontohi tindakan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Tan Sri Muhammad Muhd Taib yang menegaskan tidak akan membuang kakitangan Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas), malah menambah lebih ramai lagi kakitangan agensi itu," katanya mengulas langkah Cuepacs untuk membantu 50,000 kakitangan awam kontrak yang akan ditamatkan perkhidmatan mereka menjelang akhir tahun ini.

KDN akan jadikan Rela jabatan

Berita Harian

PUTRAJAYA: Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan membentangkan kepada Kabinet cadangan untuk menaik taraf Ikatan Relawan Rakyat (Rela) kepada sebuah jabatan dengan bidang tugas lebih luas tidak lama lagi.

Ketua Pengarah Rela, Datuk Zaidon Asmuni, berkata cadangan itu bertujuan memperluaskan lagi peranan Rela dan bukan lagi terhad kepada usaha menahan pendatang tanpa izin (Pati) dan mengawal depoh tahanan.

“Pada dasarnya cadangan itu sudah dipersetujui KDN, malah Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Syed Hamid Albar sudah memberikan persetujuan pada April lalu dan berjanji akan membentangkannya ke Kabinet pada masa terdekat,” katanya selepas menghadiri majlis perasmian pejabat Rela Daerah Putrajaya dan sambutan Aidilfitri di sini, semalam.

Hadir sama Pegawai Rela Daerah Putrajaya, Hashim Haron.

Tahun lalu, bekas Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Datuk Seri Mohd Radzi Sheikh Ahmad, mencadangkan Rela dinaik taraf kepada sebuah jabatan bagi membantu usaha kementerian membanteras pendatang tanpa izin dengan lebih berkesan.

26 October 2008

Penjawat awam perlu kuasai bahasa Inggeris

Utusan Online

LANGKAWI 25 Okt. - Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, penjawat awam harus menguasai bahasa Inggeris dengan berkesan supaya mereka dapat membantu memakmurkan negara di samping menguasai bidang tertentu terutama sains dan teknologi.

Bekas Perdana Menteri itu berkata, bahasa Inggeris merupakan satu bahasa yang cukup penting kepada penjawat awam dan swasta yang mahu mendapatkan ilmu dalam dunia berteraskan teknologi maklumat (IT).

''Kita berada dalam zaman ilmu pengetahuan di mana kita memerlukan ilmu untuk terus maju ke hadapan dan bahasa Inggeris sebagai satu lingua franca menjadi bahasa pengantar yang amat penting bagi semua bangsa untuk belajar dan berkongsi maklumat," kata beliau ketika menyampaikan ucap utama pada Persidangan Penjawat Awam 2008 di di sini hari ini.

Sementra itu, Bernama melaporkan, Dr. Mahathir Mohamad pada sidang akhbar selepas memberi ucaptama pada persidangan itu mencadangkan kepada kerajaan supaya menubuhkan kumpulan pemikir dan pemantau bagi mencari kaedah menyelamat negara daripada menghadapi krisis ekonomi dunia sekarang.

Beliau berkata, kumpulan pemikir itu seharusnya disertai oleh pakar ekonomi dan berbincang serta mengumpul data untuk memberi cadangan penyelesaian kepada kerajaan.

"Kita jangan menganggapkan kesan krisis itu tidak akan melanda negara ini sedangkan banyak negara di dunia terbabit," katanya.

Beliau berkata, semasa menjadi Perdana Menteri, kumpulan pemikir seumpama itu diwujudkan dan mereka mengambil masa lama dengan meneliti serta mengumpul data bagi mengatasi masalah ekonomi Malaysia ketika menghadapi kegawatan.

Mengenai persidangan perwakilan Umno Bahagian Langkawi pada Sabtu lepas yang mengusulkan supaya beliau kembali menyertai UMNO, Dr. Mahathir berkata, beliau hanya akan menyertai semula parti itu selepas peralihan kuasa pada Mac tahun depan.

"Saya akan kembali menyertai UMNO selepas peralihan kuasa Mac depan dengan syarat kawan-kawan saya akan bersama kembali menyertai badan itu," katanya.

Peluang 43,000 pilih pencen

Utusan Online

SEREMBAN 25 Okt. - Seramai 43,000 kakitangan kerajaan yang mengambil opsyen Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) berkemungkinan diberi peluang sekali lagi untuk membuat pilihan menyertai skim pencen.

Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Omar Osman berkata, perkara itu telah dikemukakan kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) untuk dipertimbangkan supaya kakitangan terbabit mendapat kembali nikmat dalam opsyen pencen.

''CUEPACS menyedari nasib 43,000 kakitangan kerajaan yang memilih opsyen KWSP yang tidak mendapat tiga perkara berbanding mereka yang memilih opsyen pencen.

''Tiga perkara itu ialah tiada kad persaraan, tiada kemudahan perubatan selepas bersara dan tiada gratuiti. Mereka kini berhadapan kebimbangan," kata beliau kepada pemberita di sini malam tadi.

Omar ditemui pada Majlis Makan Malam CUEPACS Kebangsaan 2008 di Dewan Majlis Perbandaran Seremban (MPS) yang dirasmikan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan.

Katanya, CUEPACS amat berharap ia mendapat pertimbangan sewajarnya daripada kerajaan kerana terdapat jurang perbezaan antara pemegang opsyen pencen dan KWSP, lebih-lebih lagi dalam konteks selepas persaraan.

Pada tahun 1992 jelasnya, melalui Sistem Saraan Baru (SSB), kakitangan kerajaan diberi opsyen untuk memilih skim KWSP atau pencen.

''Pada tahun 2002 melalui Sistem Saraan Malaysia (SSM), opsyen itu terus kekal hingga sekarang. Saya percaya sewaktu mereka membuat opsyen dahulu, majikan tidak memberikan penjelasan yang tepat mengenai jumlah wang yang bakal diterima melalui KWSP dalam satu jumlah besar.

''Bagi saya nilai RM200,000 atau RM300,000 dahulu adalah besar. Tetapi hari ini, nilai tersebut kecil dan tidak cukup untuk menyara kehidupan mereka selepas bersara," kata beliau.

Omar berkata, CUEPACS akan merayu dan berharap keputusan mengenai perkara itu diputuskan selewat-lewatnya hujung tahun ini supaya nasib 43,000 kakitangan kerajaan mendapat pembelaan semula.

''Berilah mereka peluang sekali sahaja lagi untuk memilih opsyen pencen.

''Saya optimis dan yakin kerajaan cukup prihatin dengan kakitangan kerajaan termasuklah kenaikan pencen persaraan, menambah usia persaraan daripada 55 tahun kepada 58 dan kini 60 tahun," ujar beliau.

Kaji semula sistem gaji kastam

Utusan Online

JOHOR BAHRU 21 Okt. - Kesatuan Pegawai-pegawai Kastam Semenanjung Malaysia (KPPKSM) meminta Kementerian Kewangan mengkaji semula pelaksanaan sistem gaji mereka melalui Skim Pegawai Kastam yang diletakkan di bawah Gred W17.

Yang Dipertua KPPKSM, Ibrahim Ahmad berkata, kajian semula itu perlu supaya kenaikan yang diberikan bersesuaian dengan tugas yang dilaksanakan oleh pegawai kastam terbabit.

"Berbanding pegawai kerajaan yang lain, pegawai kastam merupakan anggota paling lambat dinaikkan pangkat, apatah lagi merasa kenaikan gaji.

''Malah, pegawai kastam yang bekerja secara giliran 24 jam sehari juga tidak dibayar Elaun Tugas Giliran," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menghadiri Persidangan Perwakilan Dwi Tahunan KPPKSM Kali Ke-XVII Sesi 2008-2010, di sini hari ini.

Ibrahim berkata, pihaknya telah mengadakan pertemuan dengan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Sidek Hassan pada 25 Ogos lalu bagi membincangkan perkara tersebut.

Dalam pertemuan tersebut, Mohd. Sidek berjanji kenaikan pangkat pegawai kastam secara Khas Untuk Penyandang (KUP) bagaimanapun sehingga kini ia masih belum dilaksanakan.

Pihaknya turut mengadakan pertemuan dengan Menteri Kewangan Kedua, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop pada 25 September 2006 bagi membincangkan permintaan yang sama tetapi masih tidak berhasil.

Suruhanjaya Perkhidmatan Doktor diwujud

Berita Harian

KEMENTERIAN Kesihatan akan menubuhkan Suruhanjaya Perkhidmatan Doktor jika Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) terus melambatkan penempatan lulusan perubatan di hospital seluruh negara.

Menterinya, Datuk Liow Tiong Lai, berkata suruhanjaya itu akan mengambil alih fungsi SPA yang menguruskan penempatan lulusan perubatan dalam atau luar negara sebaik menamatkan pengajian.

"Kita tidak mempunyai sebarang masalah untuk menempatkan lulusan perubatan kerana negara memang memerlukan lebih banyak doktor. Oleh itu, kita harap SPA mempercepatkan penempatan doktor muda ini.

"Jika masih melambatkan penempatan, saya cadangkan kepada kerajaan supaya urusan penempatan ini diletakkan di bawah suruhanjaya yang dikawal selia Kementerian Kesihatan," katanya di lobi Parlimen, semalam.

Beliau mengulas soalan Lim Kit Siang (DAP-Ipoh Timur) ketika sesi soal jawab mengenai lulusan perubatan yang terpaksa menunggu lama untuk ditempatkan di hospital.

Liow berkata, masalah penempatan timbul kerana lulusan perubatan perlu mengikuti kursus terlebih dulu sebelum ditempatkan di hospital.

"Terlalu banyak prosedur yang perlu diikuti seperti kursus tatanegara dan mengikut giliran untuk ditempatkan. Perkara ini ambil masa sehingga ada lulusan terpaksa tunggu satu atau dua bulan. Birokrasi ini sepatutnya dikurangkan.

"SPA sepatutnya terus menempatkan doktor tanpa mengikuti kursus terlebih dulu, sebaliknya selepas mereka bekerja," katanya.

Sementara itu, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator T Murugiah berkata kelewatan berlaku kerana lulusan tidak melaporkan diri kepada SPA.

"Lulusan perubatan lambat membuat permohonan, tidak melaporkan diri di SPA sebaik menamatkan pengajian dan ada yang memilih tempat bekerja.

"Ada yang sudah ditemuramah dan diberikan penempatan di hospital. Bagaimanapun, mereka menolak kerana tidak suka bekerja di tempat yang ditawarkan, sebaliknya mahu bekerja di hospital di tempat asal atau kampung halaman," katanya.

23 October 2008

50,000 kakitangan awam kontrak mungkin diberhentikan

KUALA LUMPUR: Kira-kira 50,000 kakitangan awam yang berkhidmat secara kontrak mungkin ditamatkan perkhidmatan mereka menjelang akhir tahun ini berikutan kekangan kewangan kerajaan, kata Presiden Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), Omar Osman.

Mereka adalah kakitangan yang kontrak disambungkan dari setahun ke setahun, yang berkhidmat di semua jabatan dan kementerian di seluruh negara, tidak menikmati kemudahan seperti yang diterima kakitangan awam tetap, tetapi melakukan tugas yang sama.

Omar memberitahu Bernama, Cuepacs tidak boleh menerima alasan kekangan kewangan, kerana kerajaan masih mampu mengekalkan perkhidmatan golongan ini.

Cuepacs, katanya telah menghantar rayuan kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) untuk mengekalkan kakitangan ini, yang kebanyakannya telah berkhidmat antara lima hingga 10 tahun malah terdapat yang berkhidmat lebih 20 tahun.

“Cuepacs telah mencadangkan sama ada JPA mengambil semula pekerja ini atau menyerap mereka ke dalam kedudukan tetap,” kata Omar.

Beliau berkata isu ini akan dibincangkan pada persidangan perwakilan Cuepacs bulan depan. - Bernama

Elaun Perumahan Wilayah di Sabah dianggap keterlaluan

Berita Harian

SAYA sering mengikuti ruangan ini dan rasanya sudah bosan dengan tuntutan kenaikan gaji dan elaun yang sering dibangkitkan.

Oleh itu, saya ingin bertindak sebaliknya dengan memohon Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) mengkaji semula kadar Elaun Perumahan Wilayah (EPW) di Sabah yang dianggap keterlaluan.

Rasanya pemberian EPW sebanyak itu di Sabah banyak digunakan bukan untuk tujuan perumahan sebaliknya untuk manfaat lain termasuk membiayai kos pembelian yang tidak perlu seperti membeli kereta luar negara oleh penjawat awam.

Rasanya tidak logik EPW di Sabah diberikan sekitar RM800-RM1,100 sedangkan tiada kos sewa rumah yang menjangkaui angka itu di sana kecuali rumah mewah seperti banglo.

Rasanya ada lagi yang lebih memerlukan angka itu terutama yang menetap di kawasan kos hidup lebih tinggi dan mereka yang ingin memiliki rumah sendiri.

Saranan ini juga sebagai langkah membantu kerajaan untuk berjimat cermat dalam perbelanjaan pentadbiran.

Permintaan ini bukan disebabkan faktor cemburu tetapi mungkin sudah jenuh mendengar tuntutan kenaikan elaun yang rasanya lebih membebankan kerajaan.

Jadi ada baiknya saranan diberi untuk membantu kerajaan mengurangkan perbelanjaan dan mengutamakan yang lebih memerlukan.

Selain itu, sebagai peringatan supaya kita bersyukur kerana ada lagi lebih bermasalah dari segi gaji dan elaun ini terutama rakan kita yang bertugas di sektor swasta.

MASWAN,
Kuala Lumpur.

20 October 2008

RM30b in losses from lopsided state govt contracts

The Star

SHAH ALAM: Lopsided agreements in joint venture real estate projects under the previous state government led to losses of about RM30bil in revenue over the last 30 years, claimed Selangor Mentri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim.

“Companies enjoyed a much larger share of the profits under a 70:30 deal despite being awarded the land for free under these joint ventures with the then Barisan Nasional-led state government.

“The state government could have made seven to eight times more if it had sold the land, or carried out housing development projects on its own,” he said when tabling the 2009 state budget at the state assembly here on Monday.

For instance, Khalid said the Canal City joint-venture project awarded about 810ha of land to a private company with estimated returns of only RM22mil for the state over a period of more than five years.

The land involved was estimated to be worth RM170mil if it was sold to a private developer, he said.

Khalid said the Pakatan Rakyat-led state government had decided it would not enter any more venture agreements of such nature.

Fokus: Guru Cemerlang

Berita Harian


GURU Cemerlang subjek Biologi Sekolah Menengah Sains Tengku Muhammad Faris Petra, Kelantan, Mazinah Muda, menjadi ikon kepada pelajarnya. - Gambar hiasan

3,945 jawatan untuk lepasan diploma dan siswazah belum diisi

DALAM usaha memartabatkan profesion keguruan, jawatan Skim Guru Cemerlang diperkenalkan sejak 1994 sebagai insentif kepada guru berwibawa dalam bidang mata pelajaran masing-masing.

Kewujudan jawatan itu membolehkan guru dinaikkan pangkat dalam jawatan yang sama dan terus mengajar supaya kepakarannya sebagai pendidik dimanfaatkan menerusi kecemerlangan peribadi, pengetahuan, kemahiran, kerja, komunikasi dan potensi.

Skim Guru Cemerlang mendapat sambutan baik daripada guru lepasan diploma apabila kira-kira 97 peratus kuota jawatan berkenaan yang diwujudkan khusus bagi pendidik berkelayakan berkenaan, berjaya diisi.

Timbalan Ketua Nazir (Operasi), Jemaah Nazir dan Jaminan Kualiti (JNJK) Kementerian Pelajaran, Esah Jantan, berkata berdasarkan data Bahagian Sumber Manusia kementerian itu, seramai 3,904 Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Lepasan Diploma (PPPLD) menyandang jawatan Guru Cemerlang ketika ini daripada 4,000 kuota yang diwujudkan sejak Oktober 2006.

Katanya, daripada jumlah itu, semua 800 kuota Guru Cemerlang PPPLD Gred DGA 34 berjaya dipenuhi, sementara 3,140 guru Gred DGA 32 kini menyandang jawatan berkenaan berbanding 3,200 kuota disediakan.

“Kebanyakan perjawatan bagi Guru Cemerlang kedua-dua gred berkenaan sudah diisi calon berkelayakan dalam usaha

meningkatkan profesionalisme perkhidmatan perguruan,” katanya ketika pembentangan kertas kerja mengenai Guru Cemerlang di Cyberjaya, baru-baru ini.

Sementara itu, Esah berkata, kira-kira 71 peratus kuota jawatan Guru Cemerlang bagi Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Siswazah (PPPS) masih belum dipenuhi apabila hanya 1,525 guru siswazah menyandang jawatan itu ketika ini berbanding 5,374 kuota diwujudkan.

Daripada jumlah itu, katanya, 12 penyandang jawatan terdiri daripada PPPS Gred Khas C, Gred DG 54 (11), Gred DG 52 (133), Gred DG 48 (630) dan Gred DG 44 (739).

Sejumlah 3,849 kekosongan kuota Guru Cemerlang PPPS masih perlu dipenuhi iaitu 12 guru Gred Khas C, Gred DG 54 (89), Gred DG 52 (117), Gred DG 48 (370) dan Gred DG 44 (3,261).

“Masih banyak kekosongan Guru Cemerlang PPPS dalam proses pelantikan. Antaranya, 257 calon PPPS Gred DG 48 sudah dikemukakan kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) sementara 144 calon dalam semakan urus setia.

“Seramai 706 calon PPPS Gred DG 44 sudah dikemukakan kepada JPA dan 534 lagi dalam semakan urus setia,” katanya.

Esah berkata, penilaian Guru Cemerlang Gred DG 48 ke bawah diuruskan petugas khas di Bahagian Pengurusan Sekolah Harian, manakala Guru Cemerlang Gred DG52 ke atas diuruskan JNJK, sementara pelantikan, pemangkuan dan kenaikan pangkat guru berjawatan itu diuruskan Bahagian Sumber Manusia.

Beliau berkata, cabaran untuk mendapatkan calon Guru Cemerlang amat dirasai berikutan beberapa faktor kekangan termasuk guru malu memohon, permohonan guru tidak diserahkan kepada kementerian kerana ketua jabatan mempunyai

calon pilihan sendiri, penyebaran iklan dikatakan tidak sampai kepada guru dan tidak sanggup memikul tanggung jawab serta harapan tinggi terhadap pendidik berjawatan itu.

Beliau berkata, ada juga guru yang menganggap mereka sudah berada di zon selesa dan tidak mahu ditukarkan, enggan menduduki Penilaian Tahap Kecekapan serta tidak memahami falsafah kerjaya Guru Cemerlang.

“Jika kita ingin melahirkan lebih ramai Guru Cemerlang, kekangan ini perlu ditangani semua pihak termasuk guru,

pentadbir sekolah dan Kementerian Pelajaran.

“Pendidik khususnya perlu memiliki semangat memajukan diri dalam kerjaya dan sanggup memikul tanggung jawab sebagai Guru Cemerlang.

"Guru Besar dan Pengetua pula perlu sentiasa memberi dorongan serta peluang kepada guru termasuk mengenal pasti dan mencalonkan pendidik di sekolah masing-masing sebagai Guru Cemerlang.

"Perancangan perlu dibuat supaya setiap sekolah mempunyai bilangan Guru Cemerlang bersesuaian dengan jumlah dan taburan mengikut mata pelajaran," katanya.

FAKTA NOMBOR: Guru Cemerlang

  • 3,904 jawatan - Diisi Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Lepasan Diploma

  • 4,000 kuota - Jawatan diwujudkan untuk PPPLD

  • 1,525 jawatan- Diisi Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Siswazah

  • 5,374 kuota - Jawatan diwujudkan untuk PPPS.