Suruhanjaya Perkhidmatan Doktor diwujud
Berita Harian
KEMENTERIAN Kesihatan akan menubuhkan Suruhanjaya Perkhidmatan Doktor jika Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) terus melambatkan penempatan lulusan perubatan di hospital seluruh negara.
Menterinya, Datuk Liow Tiong Lai, berkata suruhanjaya itu akan mengambil alih fungsi SPA yang menguruskan penempatan lulusan perubatan dalam atau luar negara sebaik menamatkan pengajian.
"Kita tidak mempunyai sebarang masalah untuk menempatkan lulusan perubatan kerana negara memang memerlukan lebih banyak doktor. Oleh itu, kita harap SPA mempercepatkan penempatan doktor muda ini.
"Jika masih melambatkan penempatan, saya cadangkan kepada kerajaan supaya urusan penempatan ini diletakkan di bawah suruhanjaya yang dikawal selia Kementerian Kesihatan," katanya di lobi Parlimen, semalam.
Beliau mengulas soalan Lim Kit Siang (DAP-Ipoh Timur) ketika sesi soal jawab mengenai lulusan perubatan yang terpaksa menunggu lama untuk ditempatkan di hospital.
Liow berkata, masalah penempatan timbul kerana lulusan perubatan perlu mengikuti kursus terlebih dulu sebelum ditempatkan di hospital.
"Terlalu banyak prosedur yang perlu diikuti seperti kursus tatanegara dan mengikut giliran untuk ditempatkan. Perkara ini ambil masa sehingga ada lulusan terpaksa tunggu satu atau dua bulan. Birokrasi ini sepatutnya dikurangkan.
"SPA sepatutnya terus menempatkan doktor tanpa mengikuti kursus terlebih dulu, sebaliknya selepas mereka bekerja," katanya.
Sementara itu, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator T Murugiah berkata kelewatan berlaku kerana lulusan tidak melaporkan diri kepada SPA.
"Lulusan perubatan lambat membuat permohonan, tidak melaporkan diri di SPA sebaik menamatkan pengajian dan ada yang memilih tempat bekerja.
"Ada yang sudah ditemuramah dan diberikan penempatan di hospital. Bagaimanapun, mereka menolak kerana tidak suka bekerja di tempat yang ditawarkan, sebaliknya mahu bekerja di hospital di tempat asal atau kampung halaman," katanya.
No comments:
Post a Comment