26 October 2008

Peluang 43,000 pilih pencen

Utusan Online

SEREMBAN 25 Okt. - Seramai 43,000 kakitangan kerajaan yang mengambil opsyen Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) berkemungkinan diberi peluang sekali lagi untuk membuat pilihan menyertai skim pencen.

Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Omar Osman berkata, perkara itu telah dikemukakan kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) untuk dipertimbangkan supaya kakitangan terbabit mendapat kembali nikmat dalam opsyen pencen.

''CUEPACS menyedari nasib 43,000 kakitangan kerajaan yang memilih opsyen KWSP yang tidak mendapat tiga perkara berbanding mereka yang memilih opsyen pencen.

''Tiga perkara itu ialah tiada kad persaraan, tiada kemudahan perubatan selepas bersara dan tiada gratuiti. Mereka kini berhadapan kebimbangan," kata beliau kepada pemberita di sini malam tadi.

Omar ditemui pada Majlis Makan Malam CUEPACS Kebangsaan 2008 di Dewan Majlis Perbandaran Seremban (MPS) yang dirasmikan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan.

Katanya, CUEPACS amat berharap ia mendapat pertimbangan sewajarnya daripada kerajaan kerana terdapat jurang perbezaan antara pemegang opsyen pencen dan KWSP, lebih-lebih lagi dalam konteks selepas persaraan.

Pada tahun 1992 jelasnya, melalui Sistem Saraan Baru (SSB), kakitangan kerajaan diberi opsyen untuk memilih skim KWSP atau pencen.

''Pada tahun 2002 melalui Sistem Saraan Malaysia (SSM), opsyen itu terus kekal hingga sekarang. Saya percaya sewaktu mereka membuat opsyen dahulu, majikan tidak memberikan penjelasan yang tepat mengenai jumlah wang yang bakal diterima melalui KWSP dalam satu jumlah besar.

''Bagi saya nilai RM200,000 atau RM300,000 dahulu adalah besar. Tetapi hari ini, nilai tersebut kecil dan tidak cukup untuk menyara kehidupan mereka selepas bersara," kata beliau.

Omar berkata, CUEPACS akan merayu dan berharap keputusan mengenai perkara itu diputuskan selewat-lewatnya hujung tahun ini supaya nasib 43,000 kakitangan kerajaan mendapat pembelaan semula.

''Berilah mereka peluang sekali sahaja lagi untuk memilih opsyen pencen.

''Saya optimis dan yakin kerajaan cukup prihatin dengan kakitangan kerajaan termasuklah kenaikan pencen persaraan, menambah usia persaraan daripada 55 tahun kepada 58 dan kini 60 tahun," ujar beliau.

2 comments:

zulken79 said...

Saya amat bersetuju dengan langkah Cuepacs untuk berunding dengan kerajaan bagi memberi peluang kepada kakitangan kerajaan yang mencarum kwsp untuk bertukar ke skim pencen.

Diharapkan agar rundingan ini meliputi semua kakitangan kerajaan yang mencarum kwsp dan bukan sahaja terhad kepada mereka yang membuat pilihan pada tarikh-tarikh tertentu.

Ini kerana saya merupakan seorang penjawat awam bermula 2004 di bawah kategori pendidikan. Ketika ingin mengisi borang untuk memilih opsyen kwsp atau pencen, kerani pejabat telah memberikan arahan yang salah menyebabkan saya turut salah mengisi borang tersebut. Kesannya saya mendapat skim kwsp walaupun inginkan kepada skim pencen yang lebih menjaga kebajikan.

Saya telah berusaha dengan membuat rayuan kepada pihak JPA atas alasan tersebut tetapi gagal kerana mereka mengatakan Akta Pencen tidak membenarkan sebarang pertukaran dibuat setelah membuat pilihan.

Rakan saya yang turut mengisi borang bersama-sama juga mendapat skim kwsp disebabkan kesilapan tersebut. Namun beliau tidak dapat berbuat apa-apa kerana meninggal dunia sebelum surat pengesahan pemilihan diterima.

Saya berharap agar usaha yang dilakukan ini menjadi kenyataan. Harap dapat berikan komen atau cadangan ke zulken79@yahoo.com

Anonymous said...

Cuba link ke blog berikut. Ada komen menarik daripada seorang kakitangan yang memilih KWSP:
http://wwwaminar.blogspot.com/