Penjawat awam perlu kuasai bahasa Inggeris
Utusan Online
LANGKAWI 25 Okt. - Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, penjawat awam harus menguasai bahasa Inggeris dengan berkesan supaya mereka dapat membantu memakmurkan negara di samping menguasai bidang tertentu terutama sains dan teknologi.
Bekas Perdana Menteri itu berkata, bahasa Inggeris merupakan satu bahasa yang cukup penting kepada penjawat awam dan swasta yang mahu mendapatkan ilmu dalam dunia berteraskan teknologi maklumat (IT).
''Kita berada dalam zaman ilmu pengetahuan di mana kita memerlukan ilmu untuk terus maju ke hadapan dan bahasa Inggeris sebagai satu lingua franca menjadi bahasa pengantar yang amat penting bagi semua bangsa untuk belajar dan berkongsi maklumat," kata beliau ketika menyampaikan ucap utama pada Persidangan Penjawat Awam 2008 di di sini hari ini.
Sementra itu, Bernama melaporkan, Dr. Mahathir Mohamad pada sidang akhbar selepas memberi ucaptama pada persidangan itu mencadangkan kepada kerajaan supaya menubuhkan kumpulan pemikir dan pemantau bagi mencari kaedah menyelamat negara daripada menghadapi krisis ekonomi dunia sekarang.
Beliau berkata, kumpulan pemikir itu seharusnya disertai oleh pakar ekonomi dan berbincang serta mengumpul data untuk memberi cadangan penyelesaian kepada kerajaan.
"Kita jangan menganggapkan kesan krisis itu tidak akan melanda negara ini sedangkan banyak negara di dunia terbabit," katanya.
Beliau berkata, semasa menjadi Perdana Menteri, kumpulan pemikir seumpama itu diwujudkan dan mereka mengambil masa lama dengan meneliti serta mengumpul data bagi mengatasi masalah ekonomi Malaysia ketika menghadapi kegawatan.
Mengenai persidangan perwakilan Umno Bahagian Langkawi pada Sabtu lepas yang mengusulkan supaya beliau kembali menyertai UMNO, Dr. Mahathir berkata, beliau hanya akan menyertai semula parti itu selepas peralihan kuasa pada Mac tahun depan.
"Saya akan kembali menyertai UMNO selepas peralihan kuasa Mac depan dengan syarat kawan-kawan saya akan bersama kembali menyertai badan itu," katanya.
1 comment:
Rasanya ada sesuatu yang tidak telus dalam keputusan Penilaian Tahap Kecekapan (PTK) untuk bulan Ogos yang diumumkan semalam. Pada mulanya saya ingat saya seorang sahaja yang berasa tidak puas hati dengan keputusan tersebut namun ada beberapa rakan lain turut merasainya. Mana tidaknya tahap ujian yang dirasakan lebih senang berbanding PTK bulan mac sebelum ini setelah tahap kesukaran PTK sebelum ini dilihat menafikan penjawat awam untuk lulus dengan cemerlang gred 4 bagi melayakkannya menikmati kenaikan gaji. Selain daripada itu persediaan yang rapi telah dirancang untuk menghadapinya namun kecewa keputusan tidak setimpal dengan segala usaha yang telah dilakukan. Isu ujian PTK begitu banyak dibangkitkan sebelum ini sehingga ada yang memberi tanggapan kemungkinan sudah ditetapkan kuota kelulusan supaya perbelanjaan pengurusan kenaikan gaji tidak membebankan kerajaan. Mungkin juga dakwaan ini ada benarnya dan kami menuntut diwujudkan satu badan bebas dari pihak CUEPACS sendiri bagi memantau proses pemarkahan ujian ini kelak supaya semua pihak berpuas hati dan keputusan berlandaskan ketelusan. Proses pengumuman keputusan yang dianggap begitu lama memerlukan masa selama 2 bulan dilihat tidak rasional sedangkan ujian hanya dijalankan dalam bentuk soalan objektif. Seperti sedia maklum jawapan kertas objektif ini hanya memerlukan mesin pengimbas untuk memeriksa jawapan tidak sampai 10 saat untuk satu kertas. Seolah-olah masa yang lama ini diambil untuk memberi peluang perancangan dibuat bagi menetapkan kuota jumlah penjawat awam yang diperlukan bagi urusan anjakan gaji.
Post a Comment