Showing posts with label DGA34. Show all posts
Showing posts with label DGA34. Show all posts

17 February 2010

Kementerian jelaskan pelantikan guru besar

Utusan Online

Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) ingin merujuk kepada Surat MIDMAN, Gua Musang, Kelantan dalam ruangan ini pada 1 Februari 2010 bertajuk 'Teliti laluan jadi Guru Besar'.

Untuk makluman penulis, semua jawatan Guru Besar di sekolah rendah merupakan jawatan-jawatan Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Lepasan Diploma (PPPLD) Gred DGA32 dan DGA34. Memandangkan ia adalah jawatan-jawatan kenaikan pangkat bagi PPPLD, maka seharusnya keutamaan di beri kepada PPPLD yang layak dan telah diluluskan oleh Lembaga Kenaikan Pangkat Perkhidmatan Pelajaran (LKPPP) bagi pemangkuan dari Gred DGA29 ke Gred DGA32 dan dari Gred DGA32 ke DGA34 untuk mengisi kekosongan yang berlaku.

Walau bagaimanapun, terdapat Guru Besar yang telah melanjutkan pelajaran secara PJJ bagi mendapatkan Ijazah pertama. Mereka ini telah dikekalkan sebagai Guru Besar di sekolah asal secara Khas Untuk Penyandang (KUP) setelah pelantikan sebagai Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Siswazah (PPPS) Gred DG41. Keputusan pengekalan ini adalah sejajar dengan matlamat Kementerian untuk meneruskan kesinambungan kepakaran dan kepimpinan mereka di sekolah rendah.

Oleh yang demikian, Guru-Guru Penolong yang telah dilantik sebagai PPPS Gred DG41 adalah tidak layak untuk mengisi jawatan Guru Besar yang dinyatakan seperti di atas dan kerana tidak lagi berada di dalam skim perkhidmatan PPPLD bagi membolehkan dipertimbangkan mengisi jawatan guru Besar Gred DGA32/DGA34 di sekolah rendah.

Walau bagaimanapun, selaras dengan pelaksanaan Dasar Pensiswazahan yang mana KPM berhasrat untuk mempunyai 50% guru-guru di sekolah rendah terdiri daripada guru siswazah, pihak KPM sedang menjalankan kajian Model Perjawatan Sekolah Rendah dengan mengambilkira isu-isu perjawatan dan penambahbaikan laluan kerjaya Pegawai Perkhidmatan Pendidikan di sekolah rendah.

Cadangan Model Perjawatan ini akan mengambil masa kerana memerlukan kajian dan penelitian yang mendalam. Oleh itu cadangan ini dijangka akan dapat dikemukakan kepada Agensi Pusat selewat-lewatnya pada penghujung tahun ini.

SOLIHAN BADRI

Unit Komunikasi Korporat

Kementerian Pelajaran Malaysia

10 December 2008

Pertubuhan guru tidak mahu PTD dalam perkhidmatan pendidikan

Berita Harian

MAJLIS Permuafakatan Kesatuan dan Persatuan Guru Kementerian Pelajaran Malaysia mengulangi pendirian bahawa pihaknya tetap menolak pelantikan Pegawai Tadbir dan Diplomatik dalam sistem pentadbiran Kementerian Pelajaran.

Pengerusinya, Jemale Paiman, berkata perkara itu satu daripada beberapa ketetapan yang diputuskan majlis berkenaan dalam pertemuan wakil 24 kesatuan dan persatuan guru di Kuala Terengganu, baru-baru ini.

Selain ketetapan yang juga terkandung dalam Deklarasi Kota Bahru yang diputuskan sebelumnya, beliau berkata, antara ketetapan lain ialah ialah penstrukturan pegawai di jabatan pelajaran negeri (JPN) dan pejabat pelajaran daerah (PPD) harus mengambil kira pandangan persatuan dan kesatuan guru sebelum ia dilaksanakan.

Beliau yang juga Presiden Kongres Kesatuan Guru-Guru Dalam Perkhidmatan Pelajaran Malaysia berkata, pihaknya tidak mahu berlaku salah faham dan pertindihan jawatan serta tugas yang membawa gangguan dalam sistem pentadbiran di peringkat kementerian, JPN dan PPD.

“Selain itu, semua pegawai sama ada di kementerian, JPN mahupun PPD perlu dikekalkan di tempat sekarang walaupun dinaikkan ke gred lebih tinggi.

“Kepakaran pegawai berpengalaman ini amat diperlukan bagi memajukan sistem pentadbiran pelajaran. Penempatan semula yang tidak sesuai akan menjejaskan integriti mereka,” katanya kepada Berita Harian.

Jemale berkata, ketetapan seterusnya ialah menolak Peperiksaan Tahap Kecekapan bagi memberi peluang pegawai dan guru berpengalaman yang ketinggalan dalam perjawatan naik pangkat kerana tidak mencapai tahap minimum dalam penilaian berkenaan.

Majlis itu juga mahukan semua pengarah JPN serta pegawai di PPD menjalankan tugas dan tanggungjawab berdasarkan arahan serta keputusan Ketua Pengarah Pelajaran.

“Kita mahu semua bertugas dengan penuh dedikasi dan berhemah tinggi bagi meningkatkan tahap profesional perguruan berdasarkan Pelan Induk Pembangunan Pendidikan teras kelima.

“Pihak kementerian juga sudah tiba masanya mewujudkan perjawatan pada gred baru bagi Pegawai Perkhidmatan Pelajaran Lepasan Diploma sehingga DGA40 berbanding setakat ini DGA34 dan terkini DGA38 bagi guru besar dan pengelola cemerlang.

“Kami cadangkan Gred DGA40 dikhususkan untuk guru besar dan pengelola cemerlang, DGA38 guru besar, DGA34 bagi lantikan jawatan guru penolong kanan hakiki, DGA32 guru ‘time-base’ dan cemerlang, manakala DGA29 guru baru.

Jemale menjelaskan, majlis berkenaan turut memutuskan supaya Pegawai Perkhidmatan Pelajaran Siswazah turut diperluaskan ke kementerian, JPN, PPD, Bahagian Nazir Sekolah serta Bahagian Teknologi Pendidikan dengan kenaikan pangkat ke DG44.

Selain itu, kementerian diminta menyegerakan proses kenaikan pangkat DG44, DG48 dan DG52 kepada semua pegawai terbabit dengan memberi jawatan bertaraf hakiki, bukannya memangku atau Khas Untuk Penyandang seperti amalan sekarang.

“Kementerian juga perlu mengkaji semula kedudukan guru asalnya memiliki diploma pendidikan tetapi kemudian melanjutkan pelajaran hingga memperoleh ijazah agar diberi keistimewaan.

“Kebanyakan guru ini sudah berkhidmat lebih 10 tahun, malah ada yang menjawat guru cemerlang, guru penolong kanan hakiki atau guru besar serta menunjukkan prestasi kerja baik tetapi tertinggal berbanding rakan setugas yang tidak melanjutkan pelajaran.

“Mereka menjadi mangsa kerana terpaksa menjadi guru baru dan ini akan membantutkan semangat bukan saja di kalangan yang terbabit, malah guru lain yang berhasrat melanjutkan pelajaran ke peringkat ijazah,” katanya.

20 October 2008

Fokus: Guru Cemerlang

Berita Harian


GURU Cemerlang subjek Biologi Sekolah Menengah Sains Tengku Muhammad Faris Petra, Kelantan, Mazinah Muda, menjadi ikon kepada pelajarnya. - Gambar hiasan

3,945 jawatan untuk lepasan diploma dan siswazah belum diisi

DALAM usaha memartabatkan profesion keguruan, jawatan Skim Guru Cemerlang diperkenalkan sejak 1994 sebagai insentif kepada guru berwibawa dalam bidang mata pelajaran masing-masing.

Kewujudan jawatan itu membolehkan guru dinaikkan pangkat dalam jawatan yang sama dan terus mengajar supaya kepakarannya sebagai pendidik dimanfaatkan menerusi kecemerlangan peribadi, pengetahuan, kemahiran, kerja, komunikasi dan potensi.

Skim Guru Cemerlang mendapat sambutan baik daripada guru lepasan diploma apabila kira-kira 97 peratus kuota jawatan berkenaan yang diwujudkan khusus bagi pendidik berkelayakan berkenaan, berjaya diisi.

Timbalan Ketua Nazir (Operasi), Jemaah Nazir dan Jaminan Kualiti (JNJK) Kementerian Pelajaran, Esah Jantan, berkata berdasarkan data Bahagian Sumber Manusia kementerian itu, seramai 3,904 Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Lepasan Diploma (PPPLD) menyandang jawatan Guru Cemerlang ketika ini daripada 4,000 kuota yang diwujudkan sejak Oktober 2006.

Katanya, daripada jumlah itu, semua 800 kuota Guru Cemerlang PPPLD Gred DGA 34 berjaya dipenuhi, sementara 3,140 guru Gred DGA 32 kini menyandang jawatan berkenaan berbanding 3,200 kuota disediakan.

“Kebanyakan perjawatan bagi Guru Cemerlang kedua-dua gred berkenaan sudah diisi calon berkelayakan dalam usaha

meningkatkan profesionalisme perkhidmatan perguruan,” katanya ketika pembentangan kertas kerja mengenai Guru Cemerlang di Cyberjaya, baru-baru ini.

Sementara itu, Esah berkata, kira-kira 71 peratus kuota jawatan Guru Cemerlang bagi Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Siswazah (PPPS) masih belum dipenuhi apabila hanya 1,525 guru siswazah menyandang jawatan itu ketika ini berbanding 5,374 kuota diwujudkan.

Daripada jumlah itu, katanya, 12 penyandang jawatan terdiri daripada PPPS Gred Khas C, Gred DG 54 (11), Gred DG 52 (133), Gred DG 48 (630) dan Gred DG 44 (739).

Sejumlah 3,849 kekosongan kuota Guru Cemerlang PPPS masih perlu dipenuhi iaitu 12 guru Gred Khas C, Gred DG 54 (89), Gred DG 52 (117), Gred DG 48 (370) dan Gred DG 44 (3,261).

“Masih banyak kekosongan Guru Cemerlang PPPS dalam proses pelantikan. Antaranya, 257 calon PPPS Gred DG 48 sudah dikemukakan kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) sementara 144 calon dalam semakan urus setia.

“Seramai 706 calon PPPS Gred DG 44 sudah dikemukakan kepada JPA dan 534 lagi dalam semakan urus setia,” katanya.

Esah berkata, penilaian Guru Cemerlang Gred DG 48 ke bawah diuruskan petugas khas di Bahagian Pengurusan Sekolah Harian, manakala Guru Cemerlang Gred DG52 ke atas diuruskan JNJK, sementara pelantikan, pemangkuan dan kenaikan pangkat guru berjawatan itu diuruskan Bahagian Sumber Manusia.

Beliau berkata, cabaran untuk mendapatkan calon Guru Cemerlang amat dirasai berikutan beberapa faktor kekangan termasuk guru malu memohon, permohonan guru tidak diserahkan kepada kementerian kerana ketua jabatan mempunyai

calon pilihan sendiri, penyebaran iklan dikatakan tidak sampai kepada guru dan tidak sanggup memikul tanggung jawab serta harapan tinggi terhadap pendidik berjawatan itu.

Beliau berkata, ada juga guru yang menganggap mereka sudah berada di zon selesa dan tidak mahu ditukarkan, enggan menduduki Penilaian Tahap Kecekapan serta tidak memahami falsafah kerjaya Guru Cemerlang.

“Jika kita ingin melahirkan lebih ramai Guru Cemerlang, kekangan ini perlu ditangani semua pihak termasuk guru,

pentadbir sekolah dan Kementerian Pelajaran.

“Pendidik khususnya perlu memiliki semangat memajukan diri dalam kerjaya dan sanggup memikul tanggung jawab sebagai Guru Cemerlang.

"Guru Besar dan Pengetua pula perlu sentiasa memberi dorongan serta peluang kepada guru termasuk mengenal pasti dan mencalonkan pendidik di sekolah masing-masing sebagai Guru Cemerlang.

"Perancangan perlu dibuat supaya setiap sekolah mempunyai bilangan Guru Cemerlang bersesuaian dengan jumlah dan taburan mengikut mata pelajaran," katanya.

FAKTA NOMBOR: Guru Cemerlang

  • 3,904 jawatan - Diisi Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Lepasan Diploma

  • 4,000 kuota - Jawatan diwujudkan untuk PPPLD

  • 1,525 jawatan- Diisi Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Siswazah

  • 5,374 kuota - Jawatan diwujudkan untuk PPPS.
  • 03 July 2008

    Peluang guru sekolah rendah dapat ijazah

    Utusan Online

    PUTRAJAYA 3 Julai – Kementerian Pelajaran akan melancarkan Program Pensiswazahan Guru Sekolah Ren dah (PGRS) dan Program Khas Pensiswazahan Guru Besar (PKPGB) bagi meningkatkan tahap kelulusan akademik guru-guru sekolah rendah.

    Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Alimuddin Mohd. Dom berkata, kedua-dua program tersebut akan bermula tahun ini dengan pengambilan pertama dijangka pada 17 November ini.

    ``Iklan program ini akan disiarkan pada 15 Julai ini menerusi akhbar tempatan dan permohonan juga dibuka secara dalam talian,'' katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

    Alimuddin berkata, program PGSR akan dikendalikan di Institut Pendidikan Guru (IPG) seluruh negara mulai 2008 hingga 2012 dan melibatkan tempoh pengajian selama empat tahun.

    Katanya, program ini akan diadakan semasa musim cuti persekolahan dengan unjuran pengambilan seramai 3,000 orang guru setiap tahun.

    ``Bidang ditawarkan melibatkan pelbagai mata pelaja ran, selepas tamat pengajian peserta program akan dianu gerahkan Ijazah Sarjana Muda Perguruan Dengan Kepuji an (Pendidikan Rendah),'' katanya.

    Alimuddin menjelaskan, PKPGB pula dikhaskan kepada guru besar atau pegawai-pegawai kementerian yang per nah menjadi guru besar dan menyandang gred DGA34 dan DGA32, berumur tidak melebihi 48 tahun.

    ``Program selama tiga tahun itu dilaksanakan secara Mod Intensif iaitu dalam tempoh setahun kuliah melibat kan empat sesi secara intensif merangkumi 148 hari. – Utusan.

    20 March 2007

    Gred pengetua sekolah kluster bermula DG52

    Sunber : Berita Harian

    Oleh Syuhada Choo Abdullah

    Kementerian perincikan kaedah pertingkat jawatan guru besar


    KEMENTERIAN Pelajaran akan mempertingkatkan gred jawatan pengetua di sekolah kluster kepada DG52 ke atas berbanding kelaziman DG48 di sekolah menengah ketika ini.

    Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran (Jabatan Sekolah), Alimuddin Mohd Dom, berkata kementerian juga akan memperinci kaedah mempertingkatkan gred jawatan guru besar sekolah kluster, berikutan tahap tertinggi bagi penyandang sedia ada di sekolah rendah ialah DGA34.

    Dalam konteks ini, katanya, pengetua dan guru besar yang sedang menerajui sekolah terpilih sebagai sekolah kluster akan dikekalkan di institusi berkenaan.

    Sambil menegaskan pengetua serta guru besar terbabit akan diberi latihan, beliau berkata, malah Menteri Pelajaran ada membangkit cadangan memperluaskan pendedahan mereka kepada kaedah pentadbiran sekolah cemerlang di luar negara supaya dapat diaplikasikan mengikut kesesuaian acuan sendiri kelak.

    “Bagaimanapun apabila mereka bersara atau memperoleh pelantikan jawatan lain, kementerian akan memberi keutamaan kepada pengganti lebih muda dan masih lama dalam perkhidmatan.

    “Ini supaya kita boleh tengok pencapaian kepemimpinan pengetua dan guru besar terbabit di sekolah kluster masing-masing,” katanya kepada Berita Harian di Putrajaya, semalam.

    Alimuddin berkata, Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, akan mengumumkan senarai 30 perintis sekolah kluster di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), pada 30 Mac ini.

    Selepas itu, beliau berkata, kementerian akan membuka permohonan melalui iklan di akhbar kepada sekolah seluruh negara untuk memasuki kelompok cemerlang berkenaan.

    Katanya, kementerian mensasarkan pemilihan 300 sekolah kluster menjelang akhir tahun ini tetapi bilangan itu boleh dipertingkatkan mengikut kesesuaian perkembangan semasa.

    Beliau berkata, pemilihan sekolah kluster berkenaan merangkumi wakil lima kelompok dikenal pasti, iaitu sekolah rendah yang meliputi sekolah kebangsaan, sekolah jenis kebangsaan/SJK Cina, SJK Tamil dan sekolah Orang Asli.

    “Seterusnya, sekolah menengah pula meliputi sekolah berasrama penuh (SBP), sekolah menengah teknik (SMT), sekolah menengah kebangsaan agama (SMKA), sekolah menengah harian, sekolah premier, sekolah 100 tahun, sekolah dalam persekitaran Putrajaya dan Cyberjaya, serta sekolah model khas.

    “Tiga kelompok lain ialah sekolah pendidikan khas (sekolah menengah pendidikan khas dan sekolah menengah pendidikan khas vokasional), institusi lepasan menengah (kolej matrikulasi dan institut pendidikan guru), serta sekolah antarabangsa dan sekolah swasta.

    “Dalam pemilihan sekolah kluster, tiga aspek utama diberi penekanan ialah kurikulum, kokurikulum dan juga sahsiah pelajar. Sebagai contoh dari segi kurikulum, kriteria permohonan untuk SBP ialah mencapai gred purata sekolah 2.5, SMKA (3.5), diikuti SMT dan sekolah menengah harian (4.0), manakala sekolah rendah pula lebih 80 peratus calonnya lulus Ujian Pencapaian Sekolah Rendah.

    “Apabila sesebuah sekolah yang layak mengemukakan permohonan kepada Jemaah Nazir Sekolah, penilaian akan dibuat termasuklah dari aspek kepemimpinan dan pengurusan,” katanya.

    Di samping itu, Alimuddin berkata, Hishammuddin akan membuat pengumuman serta penyerahan watikah pelantikan Lembaga Penasihat Sekolah Kluster kepada 10 tokoh pendidikan, sosial, masyarakat serta ekonomi, 23 Mac ini.

    Dalam pada itu, katanya, kementerian menganjurkan Bengkel Autonomi Sekolah Kluster selama dua hari bermula semalam yang dihadiri 300 peserta daripada kalangan pengetua, guru besar, guru, persatuan ibu bapa dan guru serta alumni, bagi mendapatkan input dan pandangan mengenai autonomi sekolah kluster.