30 October 2008

Cuepacs terima aduan pekerja tamat kontrak

Berita Harian

KUALA LUMPUR: Cuepacs sudah menerima aduan daripada kakitangan kontrak yang bakal ditamatkan perkhidmatan akhir tahun ini, antaranya Jabatan Bekalan Air (JBA) Negeri Sembilan dan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kelantan.

Presidennya, Omar Osman, berkata pengerusi Cuepacs negeri sudah diarah menyediakan laporan mengenai aduan penamatan perkhidmatan kakitangan kontrak di negeri masing-masing untuk dibincangkan pada mesyuarat Majlis Kongres Cuepacs di Kota Kinabalu, pertengahan bulan depan.

Sehubungan itu, katanya, Cuepacs memegang jaminan Kementerian Sumber Manusia bahawa tidak ada kakitangan awam kontrak akan ditamatkan perkhidmatan mereka akhir tahun ini.

"Kita mahu lebih banyak kementerian mencontohi tindakan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Tan Sri Muhammad Muhd Taib yang menegaskan tidak akan membuang kakitangan Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas), malah menambah lebih ramai lagi kakitangan agensi itu," katanya mengulas langkah Cuepacs untuk membantu 50,000 kakitangan awam kontrak yang akan ditamatkan perkhidmatan mereka menjelang akhir tahun ini.

No comments: