26 July 2008

Pindaan Akta Pendidikan lahirkan guru berijazah

Utusan Online

KOTA KINABALU 25 Julai - Kesemua 27 Institut Pendidikan Guru (IPG)
di seluruh negara akan mengeluarkan guru berijazah selepas pindaan
terhadap Akta Pendidikan 1996 yang akan dibentangkan di Dewan Rakyat
pada 18 Ogos ini.

Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Razali Ismail berkata, pindaan
tersebut antara lain bertujuan menaik taraf dan memperkasa status IPG,
meningkatkan lagi imej profesion perguruan serta kualiti pendidikan di
negara ini.

Menurutnya, peningkatan keupayaan IPG itu juga sekali gus dapat
mengurangkan beban yang kini dipikul oleh universiti tempatan untuk
mengeluarkan guru berijazah.

"Ini adalah antara langkah kementerian dalam usaha kita mencapai
kadar 100 peratus guru berijazah di sekolah menengah dan 50 peratus di
sekolah rendah menjelang 2010.

"IPG selepas ini akan menjadi sebuah 'fakulti' terbesar dalam
mengeluarkan guru berijazah dan para pensyarahnya pula terbuka luas
untuk proses kenaikan pangkat," katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui selepas Majlis Wacana Profesional Memartabat Profesion Perguruan di IPG Gaya di sini malam tadi.

Razali berkata, para pensyarah di IPG yang kebanyakannya pada
kedudukan pangkat DG44 akan berpeluang naik sehingga DG54 iaitu sama
taraf dengan jawatan seorang Profesor Madya dan Jusa C yang sama
kedudukan dengan seorang Profesor di universiti.

"Sekarang ini telah ada laluan ke arah itu dan kita yakin status
pensyarah di IPG akan turut mengalami perubahan melalui pindaan-pindaan
yang dilakukan terhadap beberapa Seksyen di bawah Akta Pendidikan
1996," ujarnya.

No comments: