23 July 2008

Bekas perajurit Perak minta semak semula kadar pencen

Berita Harian

IPOH: Persatuan Bekas Perajurit Perak meminta Kementerian Pertahanan menyemak semula kadar pencen veteran perang terutama yang cacat anggota berikutan kos sara hidup yang semakin tinggi sekarang.

Ketua Biro Veteran Perang Kurang Upaya persatuan itu, Abdul Rahim Abdul Karim, berkata kebanyakan veteran perang kurang upaya menerima pencen kurang daripada RM500, walaupun selepas kenaikan gaji, Julai tahun lalu.

Katanya, dengan kenaikan harga bahan api dan barang makanan sejak dua bulan lalu, kebanyakan veteran perang kurang upaya kesempitan hidup.

"Sebelum harga minyak naik, RM500 ini cukup makan saja tetapi sekarang kami seperti juga seperti golongan miskin tegar.

"Penderitaan veteran perang kurang upaya bertambah perit jika kami terpaksa menukar kaki palsu kerana kosnya tidak kurang daripada RM2,000, itu pun yang paling murah dan mudah rosak.

"Keperitan kami belum diambil kira tekanan mental kerana menunggu tuntutan kaki palsu diluluskan Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) yang memakan masa berbulan-bulan," katanya di sini, semalam.

Beliau berkata demikian dalam dialog antara Ketua Pengarah JHEV, Mejar Jeneral Datuk Zulkiflee Mazlan dengan kira-kira 200 bekas tentera di Perak.

Abdul Rahim berkata, ada kira-kira 45 veteran perang kurang upaya seluruh Perak.

Beliau sendiri cacat kaki kanan kerana terpijak jerangkap samar selepas diserang hendap komunis di Kelian Intan, Hulu Perak pada Julai 1981.

Setiausaha Biro Veteran Perang Kurang Upaya Perak, Suparman Taib, 53, berkata JHEV juga patut menghargai jasa veteran perang terutama yang berpangkat rendah untuk mendapat tanah kediaman.

Katanya, JHEV seolah-olah 'lepas tangan' dalam isu itu.

"Apa salahnya pihak berkuasa menghargai sedikit jasa kami berkorban untuk keselamatan negara sedangkan ketika sihat, tenaga kami digunakan sepenuhnya," katanya yang putus kaki kiri kerana bertempur dengan komunis.

Sementara itu, Zulkiflee dalam ucapannya berkata, Kementerian Pertahanan membelanja RM1 bilion untuk membayar pencen kepada 86,000 pesara tentera setiap tahun.

Selain itu, katanya, RM23 juta lagi dikhaskan untuk bantuan perubatan bekas tentera dan RM15 juta untuk kebajikan termasuk membayar kos persekolahan anak dan bantuan sara hidup pesara tentera.

2 comments:

Anonymous said...

saya amat terkilan bila pejuang di biarkan begitu saja, yang sakit dan yang cacat mereka dibiarkan,dan di pinggirkan, kita mampu berjalan dgn bebas dinegara malaysia ini tanpa gangguan hanya kerana pengorbanan mereka ini, sanggup mereka tinggalkan anak isteri ,ibu bapa hinggakan mereka tidak tahu dimana kubur mereka, tapi mereka mampu melaksanakannya..kita ini mampu mencari harta untuk anak cucu kita tapi mereka apa yang mereka dapat.. yang cacat tetap cacat dang yang mati tetap mati apakah kita mampu untuk menembalikan hak mereka,tidak ada, dan tiuk ada siapa yg boleh mengembalikannya.. cuma penghargaan sahaja kita mampu beri tetapi fikirkan lah mampukah mereka hidup hanya dengan penghargaan dan pingat, adakh mereka ini makan pingat dan penghargaan itu sepanjang hidup, anak anak mereka, adakah sekolah untuk anak mereka, yuran sekolah dibayar dengan pingat, cuba kita bayangkan sekiranya tiada mereka ini, adakah kita mampu mencari rezeki, mampukah kita membela anak kita, mampukah kita bekerja, dan mampukah kita merasai kemerdekaan yang mereka ini perjuangkan fikirkan lah dan bertindaklah

Anonymous said...

Sewajarnya pencen anggota tentera dikaji semula. Kadar pencen anggota tentera dah lapok. Bagi menhargai mereka semua kerajaan sepatutnya memberi pencen penuh sepertimana yang diperolehi oleh PAT dan PTD.ptu dan PTL. Bukan senang bagi anggota tentera untuk masuk kedunia awam selepas bersara. Semasa dalam perkhimatan tenaga mereka dikerah..Duit gaji hanya abis utuk latihan ,operasi. Perkimatan pula 24 jam tanpa alaun lebih kerja.. Kaji le pencen mereka..agar sekurang2 nya sama dengan tentera singapura atau Brunai..