Kos pengajian guru ikuti PGRS ditanggung kerajaan
Berita Harian
KUALA TERENGGANU: Kos pengajian 15,000 guru yang bakal mengikuti Program Pensiswazahan Guru Sekolah Rendah (PGRS) akan ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan manakala guru yang terbabit akan menerima gaji penuh.
Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata program bagi Sarjana Muda Pengurusan Pendidikan Rendah itu akan dilaksanakan di institusi pendidikan guru dengan menggunakan model Kursus Dalam Cuti dari tahun ini hingga 2012.
Katanya program ini akan diadakan semasa musim cuti persekolahan dengan unjuran pengambilan 3,000 orang guru setiap tahun dan pengambilan pertama dijangka dilakukan pada 17 November ini.
“Saya harap guru terbabit mengambil peluang memperbaiki diri mereka, sesuai dengan tuntutan semasa,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Konvensyen Pendidikan Guru Besar Malaysia ke-14 dan Persidangan Perwakilan Kebangsaan Gabungan Majlis Guru Besar Malaysia.
Konsvensyen selama empat hari bermula Ahad lalu itu disertai lebih 7,000 guru besar dari sekolah rendah di seluruh negara.
Hishammuddin berkata program baru itu dapat mempercepatkan sasaran kerajaan untuk mewujudkan 50 peratus guru sekolah rendah terdiri daripada siswazah menjelang 2010.
Mengenai satu perkara lain, beliau memberi amaran kepada kontraktor dan perunding yang terbabit dalam projek kementerian itu supaya tidak menggunakan alasan kenaikan harga minyak dan barangan di pasaran untuk mengaut keuntungan berlebihan.
“Mereka sedikit sebanyak mesti ada tanggungjawab sosial. Jika sekolah, tidak siap anak-anak kita tidak dapat bersekolah,” katanya. — Bernama
No comments:
Post a Comment