Gelaran 'Diraja' angkat maruah, martabat polis
Berita Harian
HARI ini, Polis Diraja Malaysia (PDRM) mencatat satu lagi sejarah, apabila menyambut jubli emas penganugerahan gelaran 'Diraja' kepada pasukan itu.
Sesungguhnya pengurniaan gelaran itu oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong pertama, Almarhum Tuanku Abdul Rahman Tuanku Muhammad kepada pasukan itu pada 24 Julai 1958 amat besar maknanya, sekali gus mengangkat maruah dan martabat PDRM.
Pada majlis penganugerahan bersejarah itu, Almarhum baginda mengisytiharkan nama Pasukan Polis Persekutuan ketika itu ditukar kepada Polis Diraja Persekutuan atau 'The Royal Federation of Malayan Police'.
Majlis itu diadakan pada perbarisan khas terdiri daripada 700 pegawai dan anggota di Pusat Latihan Polis Jalan Gurney (kini Jalan Semarak) di ibu negara. Serentak penganugerahan itu, bendera baru Polis Diraja Persekutuan Tanah Melayu dikibar. Selepas terbentuknya Malaysia pada 16 September 1963, nama itu ditukar kepada PDRM dan kekal sehingga kini.
Gelaran Diraja diberikan sebagai menghargai taat setia, kegigihan, perjuangan dan pengorbanan pegawai dan anggota polis, terutama dalam menghadapi pemberontakan bersenjata anggota komunis sepanjang 10 tahun negara berhadapan Darurat pada 1948 hingga 1960. Ia juga tanda pengiktirafan dan penghormatan tinggi kerana pada ketika itu hanya tiga pasukan polis dalam Komanwel menerima gelaran Diraja.
Sebagai pasukan keselamatan terbesar pada ketika itu dengan kekuatan 161,281 anggota iaitu 31,164 anggota tetap, 44,117 Polis Khas (SC) dan 86,000 Polis Tambahan (AP), pasukan polis diberi peranan utama menentang percubaan Parti Komunis Malaya (PKM) untuk menegakkan sebuah negara komunis di Tanah Melayu dengan kekerasan senjata. Perjuangan kental pasukan itu berjaya menghapuskan 5,972 pengganas.
Bagaimanapun, dalam perjuangan menegakkan agama, bangsa dan negara serta mempertahankan keselamatan dan kedaulatan negara, sebanyak 1,346 anggota pasukan itu turut gugur, manakala 1,601 lagi cedera.
Sejak tarikh keramat penganugerahan gelaran itu, peranan pasukan polis terus cemerlang, termasuk pada awal kemerdekaan, ketika peristiwa 13 Mei 1969, peletakan senjata PKM hinggalah ke era Malaysia moden.
PDRM yang kini berusia 201 tahun, terus tegas dan berwibawa dalam melaksanakan peranan dan fungsinya seperti digariskan Seksyen 3(3) Akta Polis dalam memelihara undang-undang dan ketenteraman, mengekalkan keamanan dan keselamatan negara, mencegah dan mengesan jenayah, menangkap dan mendakwa pesalah serta mengumpul risikan keselamatan.
Semangat keperwiraan pegawai dan anggota polis tetap kental dan bersemangat di bawah naungan gelaran Diraja. Semangat itu tersemat di setiap sanubari warga PDRM melalui pemakaian lencana baru 'Integriti Amalan Kita' dan slogan baru 'Tegas, Adil dan Berhemah', yang meletakkan pasukan itu setanding pasukan polis lain di dunia.
No comments:
Post a Comment