19 May 2008

Pegawai JPM luar negara kurang pengalaman

Berita Harian

USAHA kerajaan menubuhkan Jabatan Penuntut Malaysia (JPM) bagi menjaga kebajikan pelajar di luar negara amat dialu-alukan. Namun, seperkara yang mungkin Kementerian Pengajian Tinggi tidak menyedarinya ialah kesesuaian pelantikan pegawai yang ditugaskan untuk menjaga kebajikan pelajar berkenaan.

Saya perhatikan sejak dulu lagi (ketika belajar di Britain sekitar 90-an) sehingga kini, semua pegawai yang dilantik adalah guru sekolah rata-ratanya memiliki kelayakan asas ijazah pertama sedangkan tugas mereka untuk menjaga pelajar di universiti yang mempunyai kelayakan akademik cemerlang sehingga terpilih ke luar negara.

Kalau kita bandingkan dengan universiti tempatan, semua pegawai atau penyelia yang menjaga kebajikan pelajar di kolej kediaman adalah kalangan pensyarah dengan kelayakan akademik minimum ijazah sarjana. Sekiranya mereka mempunyai ijazah pertama seperti tutor, mereka selalunya diberikan jawatan pembantu penyelia saja.

Bekas Naib Canselor Universiti Malaya, Prof Diraja Ungku Aziz, pernah dilaporkan berkata, tugas penyelia di kolej kediaman bukan sekadar memastikan pelajar cukup makan dan tidur, tetapi proses pembelajaran berterusan melalui aktiviti akademik seperti seminar, wacana ilmu, atau aktiviti kokurikulum untuk membimbing mereka menyertai masyarakat melalui bimbingan penyelia. Atas dasar itulah pembimbing pelajar peringkat universiti perlu seorang pensyarah universiti.

Berbalik kepada pegawai JPM di luar negara, saya difahamkan aktiviti akademik amat jarang di ketengahkan. Sebabnya mudah saja, pegawai berkenaan ketika di tanah air tidak pernah mengendalikan aktiviti untuk mahasiswa sebaliknya mereka hanya menguruskan pelajar sekolah menengah. Kita tidak harus menyalahkan mereka kerana tidak adil untuk mereka secara tiba-tiba menukar corak kerja guru kepada pensyarah ketika di luar negara.

Saya pernah melihat bagaimana pegawai itu menguruskan mahasiswa dalam satu suasana yang boleh saya katakan antara warden dengan pelajar dan bukan antara penyelia atau fellow dengan mahasiswa.

Saya berharap menerusi kepemimpinan Menteri Pengajian Tinggi yang baru, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, perkara ini dapat diperhalusi secara serius. Pelantikan pensyarah universiti tempatan sebagai penyelia secara pertukaran sementara ke luar negara untuk tempoh dua hingga tiga tahun boleh memanfaatkan pensyarah dan mahasiswa dengan pendedahan kepada komuniti akademik antarabangsa.

Saya berharap tulisan ini tidak dianggap merendahkan kebolehan guru. Kita semua akur sebelum kita menjejakkan kaki ke universiti, gurulah yang membimbing sehingga berjaya. Isu ini untuk membuat anjakan paradigma kepada pencapaian mahasiswa kita di luar negara agarlebih cemerlang.

PROF MADYA DR HASSAN BASRI AWANG MAT DAHAN,
Pengarah Jabatan Pengajian Malaysia,
Universiti Kaherah, Mesir.

No comments: