21 May 2008

3,000 bantu guru kelas khas

Berita Harian

Jawatan Pembantu Pengurusan Murid pastikan proses pembelajaran lancar

TIGA ribu jawatan Pembantu Pengurusan Murid akan diwujudkan bagi membantu guru kelas pendidikan khas mendidik 30,000 murid terbabit menjelang 2010, kata Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr Wee Ka Siong.

Katanya, seramai 500 kumpulan pertama Pembantu Pengurusan Murid diambil baru-baru ini bagi memastikan proses pengajaran dan pembelajaran di kelas berkenaan berjalan lancar.

Bagaimanapun, katanya, sejumlah 300 lagi akan diambil bagi mengisi jawatan baru diperkenalkan tahun ini berikutan pertambahan murid mengikuti pendidikan khas yang kini mencecah 8,000 orang.

“Usaha menambah jumlah Pembantu Pengurusan Murid ini akan dilakukan dari semasa ke semasa. Dianggarkan 3,000 jawatan akan diwujudkan menjelang 2010,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Kejohanan Olahraga Pendidikan Khas Kebangsaan 2008 di Kompleks Sukan Panasonic, di Shah Alam, semalam.

Hadir sama Pengarah Bahagian Perancangan Penyelidikan Pendidikan Khas, Dr Mohammad Nor Mohammad Taib dan Pengarah Bahagian Pengurusan Sekolah, Jabatan Pendidikan Khas, Rozainum Ahmad.

Wee berkata, jumlah Pembantu Pengurusan Murid diperlukan itu wajar berdasarkan nisbah seorang pembantu bagi 10 murid, termasuk kawalan disiplin, kebersihan serta menyediakan peralatan pengajaran dan pembelajaran.

Beliau berkata, penambahan jumlah Pembantu Pengurusan Murid itu juga dapat mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan terutama di kalangan lepasan Sijil Pelajaran Malaysia.

“Bagaimanapun, individu yang mempunyai semangat tinggi untuk berbakti dalam membantu kebajikan anak istimewa diutamakan mengisi jawatan ini. Tugas yang diserahkan kepada mereka begitu mencabar.

“Sebelum memulakan tugas mereka akan diberi latihan secukupnya supaya lebih bersedia berdepan dengan pelbagai masalah membabitkan murid berkenaan,” katanya.

Kementerian mewujudkan jawatan itu mulai tahun ini bertujuan meringankan tugas guru kelas berkenaan, sekali gus memberi peluang murid menjalani pembelajaran lebih selesa.

Dalam perkembangan berkaitan, Wee berkata, pihaknya akan mengemukakan cadangan kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) bagi membolehkan Pembantu Pengurusan Murid turut mendapat elaun khas.

Beliau berkata, cadangan itu bertujuan memberi layanan sama rata kerana seramai 818 guru pendidikan khas dan murid kelas terbabit mendapat elaun berkenaan.

Mulai tahun ini, katanya, setiap murid pendidikan khas mendapat penambahan elaun bulanan RM50 berbanding RM25 sebelum ini, manakala guru pula RM250 sebulan berbanding RM100 sebelumnya.

“Berdasarkan kenaikan ini, wajar bagi Pembantu Pengurusan Murid turut dipertimbang mendapatkan elaun sama bagi meningkatkan semangat mereka bertugas dengan lebih dedikasi,” katanya.

No comments: