Semak kadar elaun tugas lebih masa doktor
APA yang saya paparkan di sini hanyalah luahan hati saya dan sebahagian kecil doktor yang bertugas di satu daerah di Pantai Timur. Kerjaya sebagai doktor seringkali dipandang sebagai hebat tetapi realitinya tidak ramai yang mengetahui pahit-maung kehidupan kami.
Tidak pernah sesekali kami menyesali memilih kerjaya ini yang memikul tanggungjawab berat berhubung hidup dan mati pesakit-pesakit kami.
Tekad kami adalah untuk memberikan perkhidmatan terbaik tanpa mengira kaum dan agama. Namun, seringkali kami merasakan ganjaran yang kami peroleh tidak setimpal dengan beban kerja dan tanggungjawab lebih-lebih lagi jika dibandingkan dengan rakan-rakan yang bekerja di sektor swasta atau di luar negara.
Masalah ini juga seringkali menjadi sebab utama penghijrahan doktor-doktor di hospital kerajaan ke hospital swasta. Malah, Menteri Kesihatan, Datuk Liow Tiong Lai dalam Utusan Malaysia, 28 April lalu juga mengakui bahawa faktor gaji yang rendah di negara ini menyebabkan ramai pakar perubatan lebih cenderung untuk berkhidmat di luar negara kerana gajinya jauh lebih lumayan.
Baru-baru ini, iaitu berkuat kuasa pada 1 Februari 2008, kerajaan telah bersetuju untuk menaikkan elaun bayaran insentif klinik untuk kecemasan ringan selepas waktu pejabat daripada RM30 sejam kepada RM80 sejam.
Kami tumpang gembira dengan berita ini kerana nasib sebahagian rakan-rakan kami yang bertugas klinik kesihatan dan Jabatan Kecemasan sekurang-kurangnya terbela.
Namun bagaimana dengan nasib kami doktor-doktor yang berkhidmat di wad hospital kerajaan yang kadangkala bekerja berterusan tanpa henti selama 33 jam?
Itulah rutin kehidupan seorang doktor jika bertugas atas panggilan aktif (oncall). Bermula seawal jam 8 pagi, kami akan membuat rondaan wad dan melakukan tugas-tugas wad seperti mengambil darah dan spesimen, melakukan pelbagai prosedur dan seterusnya berkejar pula ke klinik untuk melihat pesakit-pesakit yang mendapat rawatan susulan. Seringkali, kami bekerja melangkaui masa rehat tengah hari dan ada kalanya tidak sempat untuk berehat atau makan.
Kes-kes
Petangnya pula, kami akan melihat kes-kes yang baru dimasukkan ke wad, kes-kes rujukan oleh jabatan lain dan memberi rawatan yang sewajarnya sehinggalah ke pukul 5 petang. Sekiranya oncall pada hari tersebut, kami akan terus bekerja sehinggalah ke pukul 8 pagi keesokan harinya dan rutin seharian kami diteruskan sehingga pukul 5 petang.
Kami yang bertugas atas panggilan aktif (berada di hospital) melebihi 16 jam sehari secara berterusan ini akan dibayar pada hari bekerja penuh dan separuh pada kadar RM150 semalam, manakala pada hari cuti minggu dan hari cuti am RM170 semalam (berkuatkuasa 1 Jun 2005).
Sekiranya bertugas atas panggilan pasif iaitu bersedia di rumah dan dipanggil bertugas selama lebih empat jam pada hari bekerja penuh dan separuh, kadarnya ialah RM90 semalam manakala hari cuti minggu dan hari cuti am RM100 semalaman.
Jika bersedia di rumah dan dipanggil bertugas selama kurang daripada empat jam atau jika tidak dipanggil bertugas pada hari bekerja penuh dan separuh, kadarnya ialah RM50 semalaman dan pada hari cuti minggu dan hari cuti am RM55 semalaman.
Jelas di sini, bekerja lebih masa selama dua jam di klinik kesihatan atau jabatan kecemasan dan merawat kes kecemasan ringan akan dibayar RM160 (2 jam x RM80). Tetapi kami yang bekerja 16 atau 24 jam berterusan dan merawat pelbagai kes termasuk kes ringan, semikritikal atau kritikal hanya dibayar RM150 atau RM170 sahaja.
Perkara ini tidak sewajarnya berlaku dan kami berpendapat sudah tiba masanya untuk kadar elaun tugas lebih masa ini disemak semula.
DOKTOR TERKILAN
Kelantan
No comments:
Post a Comment