06 December 2007

Pelan Strategik Pengajian Tinggi Negara

Utusan Online

Oleh: DR. ZAINI UJANG

APAKAH benar sektor pengajian tinggi Malaysia sedang menghadapi saat-saat kejatuhan dari segi kualiti sehingga diungkapkan sebagai ‘kritikal’ sebagaimana laporan muka hadapan Pengajian Tinggi Kritikal? (Utusan Malaysia, 3 Disember). Apakah semua penanda aras yang digunakan menunjukkan mutu pengajian tinggi tempatan mengalami penurunan dan tidak setanding dengan negara tetangga, apatah lagi negara maju?

Menurut rumusan laporan yang dikemukakan Bank Dunia dengan kerjasama Unit Pembangunan Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri pada Mac lalu, sektor pengajian Malaysia sedang mengalami perubahan yang kritikal dari segi evolusi pembangunannya. Istilah ‘kritikal’ itu merujuk kepada tahap transformasi, bukan tahap kualiti, atau kewujudannya.

Oleh itu, istilah ‘kritikal’ dalam konteks pembangunan pengajian tinggi di Malaysia tidak boleh ditanggapi secara negatif sebaliknya adalah satu tahap peningkatan secara menyeluruh yang memang diperlukan dalam semua sektor selari dengan cabaran zaman dan keadaan yang semakin mencabar.

Biarpun banyak isu dibahaskan dalam laporan tersebut namun terasnya ialah kaedah untuk memperkasa dan mengangkasakan pengajian tinggi, menjadikan ekonomi Malaysia lebih berorientasi pengetahuan. Selain itu, laporan tersebut turut menggariskan beberapa peringatan yang jika tidak ditangani segera boleh menggerhanakan pencapaian pengajian tinggi, seperti kehilangan tumpuan dan kealpaan untuk melakukan reformasi secara berterusan.

Secara spesifik laporan tersebut menggariskan empat keutamaan yang perlu dilakukan segera iaitu; sistem urus tadbir dan model kewangan yang lebih efektif meningkatkan kualiti universiti terutamanya program akademik, pengurusan fakulti dan pembelajaran pelajar melengkapkan graduan dengan kemahiran yang sesuai dengan ekonomi berasaskan pengetahuan memantapkan sistem inovasi tempatan dengan kerjasama lebih mantap antara agensi swasta dengan universiti.

Keempat-empat keutamaan tersebut sebenarnya bukan sahaja relevan untuk Malaysia. Bahkan sebahagiannya sedang dilaksanakan di kalangan negara maju seperti Britain, Jepun dan Australia yang juga sedang mengalami transformasi untuk memperteguhkan lagi sektor pengajian tinggi masing-masing.

Transformasi pengajian tinggi merupakan fenomena global bagi menghadapi sistem ekonomi tanpa sempadan dan dunia digital yang lebih kompetitif.

Tidak pernah dalam catatan sejarah, dunia akademik difahami dan dimaklumkan kepada umum sebagaimana yang berlaku kebelakangan ini menerusi paparan teknologi informasi dan maklumat (ICT) dari segi ranking, penerbitan, citation dan visibiliti. Akademia dahulunya adalah sebuah dunia misteri yang hanya difahami komuniti ‘intelektual’ menara gading yang kadangkala tidak relevan dengan zaman dan lingkungan.

Malah, Universiti Oxford, tangga kedua dalam senarai ranking universiti dunia (THES 2007), juga sedang berusaha untuk melakukan transformasi dari segi urus tadbir yang sejak sekian lama diamalkan, biarpun mendapat bantahan besar-besaran di kalangan ahli akademik pada tahun 2006.

Sementara itu, sejak November 2006, sektor pengajian tinggi di Amerika Syarikat (AS) juga melakukan pelbagai inisiatif untuk lebih berdaya saing. Sebagai contoh, kerajaan AS telah membiaya iklan dalam media China untuk menarik lebih ramai pelajar negara tersebut belajar di AS. Kempen tersebut diketuai sendiri Frank Lavin, Setiausaha Negara Perdagangan Antarabangsa. Menurut Lavin, kempen tersebut terpaksa dilakukan untuk mendapatkan pelajar terbaik dari serata dunia yang kini menjadi semakin kompetitif. Selain itu, bilangan pelajar asing di AS menurun 2.4 peratus dalam tempoh tiga tahun selepas insiden 9/11.

Banyak negara maju mula menyedari bahawa sektor pengajian tinggi tidak terbatas kepada penjanaan modal insan tempatan, bahkan boleh mendatangkan pulangan ekonomi berganda. Itulah teras transformasi pengajian tinggi di AS, Australia dan Britain ketika ini. Pada tahun 2006 sahaja, menurut laporan majalah Newsweek (Oktober 2007), pelajar asing menyumbang AS$14 bilion kepada ekonomi AS dalam bentuk bayaran tuisyen dan sara hidup. Pulangan lain juga dapat dirasakan dari segi produk penyelidikan dan pembangunan (R&D) dan pemantapan budaya ilmu martabat tinggi.

Maka tidak hairanlah negara membangun seperti Malaysia juga mestilah melakukan transformasi dan reformasi pengajian tinggi untuk sama-sama menyahut cabaran zaman.

Transformasi tersebut adalah satu kemestian dan inisiatif proaktif, bukan suatu tindakan reaktif akibat penurunan kualiti atau ranking. Itulah yang dilakukan Kementerian Pengajian Tinggi menerusi Pelan Strategik Pengajian Tinggi Negara (PSPTN) yang dilancarkan Perdana Menteri 27 Ogos lalu.

PSPTN juga mengambil kira saranan yang terkandung dalam laporan Bank Dunia itu.

PSPTN merupakan dokumen terawal menggariskan matlamat pengajian tinggi secara komprehensif, iaitu untuk menghasilkan graduan berpengetahuan dan kompeten dalam bidang pengajian serta berkemampuan untuk menggunakan pengetahuan kepada amalan. Selain itu, graduan perlu berinovatif, mempunyai kebolehan kognitif, menguasai pelbagai bahasa dan keupayaan berkomunikasi dengan berkesan serta celik teknologi, menghayati nilai-nilai murni sebagai asas kehidupan, dan mampu untuk memberikan sumbang bakti kepada masyarakat, negara dan dunia.

Menerusi PSPTN, IPT tempatan akan terus dibangunkan melalui dua pendekatan. Pertama, memperkukuh pembelajaran berteraskan pengetahuan, menjalankan penyelidikan impak besar kepada akademia-industri menerusi konsep elitis dan memberi perkhidmatan kepada masyarakat. Kedua, membuka laluan pengajian tinggi bersifat terbuka dan sepanjang hayat melalui universiti terbuka, politeknik, dan kolej komuniti.

Melalui sistem pengajian tinggi bersepadu ini, IPT tempatan dijangka mampu menyediakan peluang dan ruang lebih luas kepada mobiliti pelajar untuk mendapat pendidikan dan latihan. Di samping itu, IPT dapat memenuhi keperluan pasaran kerja dan meningkatkan inovasi.

Dari perspektif global, transformasi pengajian tinggi adalah suatu kemestian untuk memastikan mutu pengajian tinggi dapat terus dimantapkan. Transformasi ini telah diterjemahkan dalam bentuk strategi dan pelan tindakan yang terperinci menerusi dokumen PSPTN. Sesungguhnya transformasi tersebut adalah ‘kritikal’ bagi memartabatkan pengajian tinggi negara, sekali gus mengangkasakan bangsa, agama dan negara.

- PROF. DATUK IR. DR. ZAINI UJANG ialah Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan

dan Inovasi) Universiti Teknologi Malaysia.

No comments: