03 December 2007

Kakitangan Kerajaan wajar dibayar bonus

Harakah Daily

Pengumuman Kerajaan untuk tidak membayar bonus kepada kakitangan kerajaan bagi tahun 2008 pada awalnya tidaklah mengejutkan kerana inisiatif menaikkan gaji sehingga hampir menyamai 1-4 bulan gaji bagi kakitangan awam.

Tetapi apa yang sangat mengejutkan ialah kenaikan harga hampir semua barang keperluan sehingga ada yang melebihi 10 peratus kenaikan.

Walaupun sehingga kini pihak yang berwajib berhempas-pulas memastikan harga barang keparluan adalah dalam kawalan, tetapi adakah keperluan sesetengah pihak bukan kerajaan untuk turut berkongsi nikmat kenaikan gaji ini dinafikan dengan sebegitu sahaja.

Sesungguhnya hampir semua kakitangan awam yang sudah berangan-angan untuk berjoli dengan kenaikan gaji terpaksa merancang semula perbelanjaan demi memenuhi keperluan kos sara hidup yang turut meningkat.

Pendek kata nikmat kenaikan gaji ini sebenarnya tidaklah betul-betul dinikmati oleh kakitangan awam sedangkan keperluan rumah, anak-anak dan perbelanjaan lain perlu diberi perhatian.

Persoalan yang begitu ketara ialah rasional tidak diberikan bonus 2008 ialah kerana peruntukan itu dapat disalurkan pula kepada dana untuk faedah maksimum negara sebagaimana yang disebut oleh Menteri Kewangan kedua.

Adakah kerajaan tidak mempunyai peruntukan yang cukup kepada pembelaan golongan miskin sehingga perlu ditarik dari peruntukan bonus kepada kakitangan awam?

Bagaimana pula kerajaan mempunyai peruntukan yang cukup bagi membiayai koridor-koridor ekonomi di seluruh negara?

Bagaimana pula dengan tarif elektrik yang akan dinaikkan dan subsidi minyak yang akan ditarik sedikit oleh kerajaan?

Persoalan-persoalan inilah yang menjadi igauan buruk kepada kakitangan awam sedangkan pada masa yang sama bonus oleh pihak swasta dapat dinikmati oleh kakitangan swasta dengan berlipat kali ganda.

Pengumuman 4 tol tidak dinaikkan kadar bayaran ibarat satu rahmat, namun pengumuman peningkatan KDNK lebih melegakan dan pada masa yang sama kakitangan awam amat berharap dapat berkongsi pencapaian yang membanggakan ini. - mks.

No comments: