10 nama tentera cedera diumum
Berita Harian
LANGKAWI: Angkatan Tentera Malaysia semalam mengeluarkan senarai nama anggota tentera yang tercedera ketika membuat latihan penerjunan sempena majlis pembukaan pertunjukan udara sempena Pameran Antarabangsa Udara dan Maritim (Lima 2007) di sini kelmarin yang menyebabkan tiga anggota tentera maut.
Sepuluh anggota tentera dari Pasukan 10 Briged Para dari Kem Terendak, Melaka yang cedera itu ialah Armizi Yusairi, 25; Suraya Ali, 23; Rosmidah Suman, 21; Agilendeswaraj, 22; Moggie a/k George, 30; Asimas Ahmad, 22; Rohani Nordin 21, Zaliza Zakaria, 23; Mohd Ridzwan Yusof, 23 dan Noor Zakirul Zahadil, 23.
Mohd Ridzwan dan Noor Zakirul dibenarkan keluar dari hospital Langkawi semalam, manakala tujuh lagi masih berada dalam wad termasuk Suraya yang kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU). Zaliza pula dirawat di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Star. Mereka dilaporkan stabil.
Dalam kejadian jam 10.30 pagi kelmarin, 138 daripada 160 anggota Pasukan 10 Briged Para dari Kem Terendak Melaka membuat penerjunan latihan dari dua pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) C130 apabila angin kencang tiba-tiba berlaku menyebabkan 20 penerjun tersasar jauh daripada sasaran di Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi dan mendarat di laut bersebelahan lapangan terbang itu.
Kejadian itu menyebabkan tiga anggota termasuk dua anggota wanita maut, manakala yang lain cedera.
Anggota tentera yang terbunuh ialah Renjer Siti Hajar Yakub, 24, Prebet Nurul Wahida Mohamad Yunus, 20, dan Trooper Raimond Duncan, 25.
“Suraya kini stabil dan akan pulih dalam sedikit masa lagi. Sekarang pun Suraya sudah boleh bergerak” katanya ketika ditemui di hospital di sini, semalam.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak serta Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid adalah antara kenamaan yang melawat Suraya serta enam anggota tentera lain yang dirawat di hospital itu, semalam.
Ali yang bergegas ke sini dari rumahnya di Kota Bharu, Kelantan selepas dimaklumkan insiden itu berkata, dia amat terkejut apabila seorang pegawai tentera dari Kem Terendak memaklumkannya bahawa Suraya cedera ketika membuat latihan penerjunan.
Katanya, dia tahu Suraya akan membuat terjunan pada Lima 2007, selepas anaknya menelefon memaklumkannya Sabtu lalu.
“Setiap kali Suraya nak terjun, saya akan buat solat hajat dan berdoa semoga dia selamat,” katanya.
Sementara itu, seorang anggota tentera lelaki yang dirawat di hospital itu dan enggan namanya disiarkan berkata, beliau sedih apabila diberitahu tiga rakannya maut termasuk Nurul Wahida, kawan baiknya. - Bernama
No comments:
Post a Comment