04 December 2007

Omar kekal Presiden CUEPACS

Utusan Online

Oleh: ZULKIFLI ABDULLAH

KUALA LUMPUR 3 Dis. – Omar Osman, 56, tidak dicabar dan terus diberi kepercayaan untuk menyandang jawatan Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) pada pemilihan 11 Disember ini.

Apa yang menarik, kemenangan tanpa bertanding bagi jawatan utama itu mencatatkan sejarah sebagai yang pertama dalam tempoh 30 tahun.

Sebelum ini jawatan peneraju kesatuan induk sektor awam itu menyaksikan pertandingan setiap tiga tahun sekali.

Kali terakhir jawatan Presiden dipertandingkan ialah pada 2004 apabila Nordin Abdul Hamid berjaya mempertahankan jawatannya mengalahkan Presiden Kakitangan Am MARDI, Ramli Omar .

Kemenangan mutlak Omar diperoleh apabila tiada calon lain tampil mengemukakan pencalonan selepas tarikh akhir pada 29 November lalu.

Bagaimanapun bagi jawatan-jawatan utama lain dalam pemilihan pucuk pimpinan CUEPACS sempena Konvensyen Tri-tahunan ke-24 ini memperlihatkan saingan sengit.

Bagi jawatan Timbalan Presiden, enam calon beradu nasib manakala jawatan Setiausaha Agung pula menyaksikan pertandingan satu lawan satu.

Begitu juga dengan pemilihan tiga calon untuk mengisi jawatan Timbalan Setiausaha Agung dengan tujuh calon termasuk dua penyandang mempertaruhkan sokongan 1,200 perwakilan.

Penyandang jawatan Timbalan Presiden, Azih Muda yang juga Presiden Kesatuan Pekerja-Pekerja Pihak Berkuasa Tempatan Semenanjung Malaysia (Anulae) dicabar oleh enam pemimpin kesatuan sekerja lain.

Mereka ialah Hussain Mohd. Yasin (Kesatuan Kakitangan Am Universiti Malaya), Zainal Ismail (Kesatuan Pekerja-Pekerja Lembaga Air Perak), Ramli Omar (Kesatuan Kakitangan Am MARDI), Ibrahim Ahmad (Kesatuan Pegawai-Pegawai Kastam Semenanjung Malaysia) dan Anuar Ibrahim (Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Malaysia).

Dalam pemilihan kali ini, tumpuan sudah tentu kepada jawatan Setiausaha Agung dengan menyaksikan pertandingan dua penjuru antara penyandang jawatan, Ahmad Shah Mohd. Zin dengan Presiden Kesatuan Pekerja-Pekerja Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor, Ab. Rahman Abdan.

Pada pemilihan 2004, Ahmad Shah dipilih memegang jawatan itu selepas mengalahkan penyandang jawatan, Jamilah Harun.

Tidak kurang menariknya ialah jawatan Timbalan Setiausaha Agung apabila dua orang penyandang, Lok Yim Pheng dan Aris Baginda dicabar oleh lima calon lain.

Mereka ialah Adnan Mat, Ku Azmi Ku Ibrahim, Kang Bee Leng, Mohd. Sabri Abdu. Samad, Mahamad Bahrum dan Zainal Abidin Shaik Dali.

Bagi jawatan Setiausaha Kewangan, Samuel Devadan dari Kesatuan Perkhidmatan Teknik Semenanjung Malaysia menang tanpa bertanding manakala jawatan Timbalan Setiausaha Kewangan melibatkan dua calon iaitu Ja’apar Mansor dan Lokman Mohamed.

Menurut Ahmad Shah, konvensyen itu akan berlangsung di Wisma MCA dari 10 hingga 12 Disember ini dengan majlis perasmiannya akan disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Sementara itu, proses pengundian akan berlangsung pada 11 Disember dan keputusan akan diumumkan pada keesokannya.

No comments: