07 December 2007

JKR tidak ambil alih projek tertangguh

Berita Harian

KUALA LUMPUR: Kementerian Kerjaraya tidak akan mengambil alih projek pembangunan atau pembinaan infrastruktur kementerian lain yang tertangguh selagi semua semua projek pembangunan yang diamanahkan kepadanya tahun ini selesai.

Menterinya, Datuk Seri S Samy Vellu, berkata sehingga Oktober lalu, kementeriannya sudah membelanjakan 74.6 peratus daripada peruntukan RM3.7 bilion bagi tahun ini yakin bakinya dapat dihabiskan menjelang akhir tahun kerana kebanyakan projek kini pada peringkat akhir.

"Buat masa sekarang, tumpuan kita ialah untuk menyiapkan semua 531 projek di bawah kementerian ini bagi 2007. Kemudian, kita boleh ambil alih projek kementerian lain, itu pun hanya jika ada permintaan daripada kementerian berkenaan dan mendapat kelulusan Kabinet.

"Gambaran lebih jelas boleh diperoleh dalam suku pertama tahun depan apabila Laporan Separuh Penggal Rancangan Malaysia Kesembilan diumumkan," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis penyampaian Anugerah Kualiti Kementerian Kerjaraya, di sini, semalam.

Hadir sama, Ketua Setiausaha Kementerian Kerjaraya, Datuk Syed Jamal Syed Jaafar; Ketua Pengarah JKR, Datuk Dr Judin Abdul Karim; Ketua Pengarah Lembaga Lebuh Raya Malaysia (LLM), Datuk Mohamad Razali Othman dan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB), Hamzah Hassan.

Majlis itu turut menyaksikan penyampaian sijil Sistem Pengurusan Kualiti MS ISO 9110:2000 bagi tempoh 2007 hingga 2009 kepada kementerian terbabit.

Kata Samy Vellu, selain pencapaian itu, Kementerian Kerjaraya turut berbangga kerana Laporan Ketua Audit Negara 2006 tidak melaporkan apa-apa kesalahan pengurusan kewangan dalam kementerian itu dan mendapati sebahagian besar projek yang diuruskan siap mengikut jadual.

Beliau juga mengingatkan warga kementeriannya mengenai cabaran lebih hebat pada 10 Disember ini apabila Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, melancarkan Pelan Induk Industri Pembinaan Negara (CIMP) yang diluluskan kerajaan 28 Ogos lalu.

No comments: