06 December 2007

JPA perlu kekal daya saing sektor awam

Berita Harian

Oleh Azrina Ahzan

PUTRAJAYA: Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) perlu menetapkan petunjuk prestasi utama (KPI) yang lebih tinggi bagi mengekalkan daya saing sektor awam.

Perdana Menteri berkata, KPI juga mampu mendorong kakitangan awam menghasilkan mutu kerja berkualiti dan bertaraf tinggi, disesuaikan dengan perubahan pentadbiran dan pengurusan semasa.

"Sistem pengurusan sentiasa berubah, jadi JPA perlu menggunakan pendekatan baru dalam melaksanakan tugas mereka yang mampu membawa perubahan kepada pentadbiran dan pengurusan sektor awam," katanya ketika berucap pada majlis makan malam JPA di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini, semalam.

Hadir sama, isteri Perdana Menteri, Datin Seri Jeanne Abdullah; Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Senator Datuk Abdul Rahman Suliman; Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Mohd Sidek Hassan dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Ismail Adam.

Kira-kira 1,300 kakitangan termasuk keluarga masing-masing hadir pada majlis itu yang turut diserikan dengan persembahan artis JPA, kombo RTM dan artis terkenal Azlina Aziz serta David Arumugam dari kumpulan Alleycats.

Acara tahunan anjuran Kelab JPA itu diadakan bagi memberi ruang kepada semua warga JPA untuk bertemu dan beramah mesra bagi mengeratkan hubungan silaturahim sesama mereka.

Abdullah berkata, sebagai sebuah agensi kerajaan yang berpengaruh, JPA perlu memastikan skim perkhidmatan, perjawatan dan sukatan latihan kepada kakitangannya adalah terkini, supaya modal insan yang dilahirkan boleh bersaing dengan dunia luar.

“Kita (kakitangan awam) perlu berfikiran terbuka untuk melihat dan menerima segala pembaharuan yang ada, kerana ia dapat menjadikan kerja kita lebih berkesan dan produktif,” katanya.

Perdana Menteri berkata, penubuhan Pasukan Petugas Khas Pemudahcara Perniagaan (Pemudah) dengan kerjasama sektor swasta berjaya mengurangkan jumlah aduan mengenai perkhidmatan awam.

No comments: