12 November 2007

Pembaharuan urus tadbir lonjak IPTA

Oleh Dr Zaini Ujang

Pusat pengajian tinggi wajar contohi dasar dilaksana universiti ternama dunia

TIADA satu pun universiti di Malaysia tersenarai di kalangan 200 universiti terkemuka dunia tahun ini. Selain itu, beberapa universiti terkemuka di Asia menurun dari segi kedudukan kecuali Universiti Tokyo yang meningkat daripada kedudukan 19 pada 2006 ke tangga 17, Universiti Kong Kong dari 33 ke 18, Universiti China Hong Kong dari 50 ke 38, Universiti Kyoto dari 29 ke 25, dan Universiti Osaka dari 70 ke 46.

Sementara itu, Universiti Nasional Singapura menurun dari 19 ke 33 dan Universiti Peking (China) menjunam dari 14 ke 36 dan Universiti Tsianghua (China) dari 28 ke 40.

Penarafan dijalankan Times Higher Education Supplement (THES) di London itu sekali lagi mengukuhkan kedudukan universiti ternama di Amerika Syarikat dan Britain sebagai yang terbaik secara keseluruhannya, diterajui Harvard, Cambridge, Oxford, Yale, Imperial College London, Princeton, Caltech, Chicago, University College London dan MIT dalam senarai 10 teratas.

Tahun lalu, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Universiti Malaya (UM) termuat di hujung senarai 200 terbaik. Universiti Sains Malaysia (USM) dan Universiti Putra Malaysia (UPM) termasuk dalam senarai 500 terbaik.

Tahun ini, semua universiti itu menurun dari segi kedudukan disertai Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dengan penampilan pertama. Tahun ini UM pada 246, UKM dan USM 307, UPM 346 dan UTM 415.

Mengulas perkembangan itu, Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Mustapa Mohamed menjelaskan kaedah penarafan itu dilakukan dengan memberi tumpuan kepada reputasi akademik. Ada juga ulasan beberapa naib canselor bahawa kaedah penarafan itu tidak konsisten berbanding tahun sebelumnya.

Hal ini ketara terutama dari segi penilaian petikan penerbitan dalam jurnal berimpak tinggi yang berubah dari sistem ESI kepada Scopus. Sehubungan itu, Mustapa mengarahkan semua naib canselor universiti tempatan menjadikan reputasi akademik sebagai strategi utama dalam inisiatif peningkatan kualiti akademik dan penarafan.

Sebanyak 60 peratus markah penarafan THES berdasarkan kepada reputasi staf akademik menerusi penilaian sepakaran (peer review) sebanyak 40 peratus dan selebihnya petikan yang termuat dalam jurnal ternama berimpak tinggi (citation).

Markah selebihnya ialah nisbah pensyarah-pelajar (20 peratus), penilaian majikan (10 peratus), pensyarah antarabangsa (lima peratus) dan pelajar antarabangsa (lima peratus). Apa pun, kita juga tidak boleh sambil lewa dan menganggap penarafan THES tidak bermakna. Banyak pengajaran dan perubahan boleh kita lakukan.

Sebagai contoh Naib Canselor UTM, Tan Sri Prof Zulkifli Mohd Ghazali mencadangkan agar status universiti penyelidikan diperluaskan kepada IPTA selain UM, UKM, UPM dan USM untuk membantu dari segi peningkatan penarafan dan kecemerlangan akademik.

Seandainya penarafan adalah keutamaan demi memartabatkan pengajian tinggi sekali gus �mengangkasakan bangsa� Malaysia, seperti konsep diperkenalkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, maka alternatif yang ada bukanlah terlalu sukar untuk diputuskan.

Strateginya jelas dan kaedahnya hampir sama saja iaitu melaksanakan dasar, kaedah dan amalan seperti dilaksanakan universiti ternama, biarpun sedikit sebanyak ada kelainannya berasaskan faktor sejarah dan amalan tradisi.

Ini termasuk dari segi urus tadbir, kewangan, perjawatan, kenaikan pangkat, kemudahan akademik, skim saraan dan pengambilan pelajar. Dengan kata lain, hampir seluruh mekanisme semasa yang diamalkan di universiti tempatan perlu dikaji dan diolah supaya sama atau setanding dengan universiti ternama itu.

Tumpuannya ialah kecemerlangan akademik di kalangan pensyarah dan pelajar. Untuk mencapai kecemerlangan akademik, maka sistem urus tadbir di semua universiti ternama berbentuk autonomi untuk menguruskan sendiri aspek kewangan, perjawatan dan dasar berkaitan perkembangan akademik.

Dari segi kewangan, geran pengurusan yang besar disediakan kerajaan termasuklah di Britain, ditampung pelbagai punca pendapatan tambahan terutama yuran pengajian yang kompetitif.

Dengan autonomi dan geran sedemikian maka dapatlah pihak universiti merancang strategi terbaik, tanpa melalui pelbagai tatacara birokrasi dan keseragaman skim perkhidmatan agensi kerajaan, untuk mengekalkan kecemerlangan akademik.

Selain itu, kecemerlangan akademik sesebuah universiti sangat bergantung kepada reputasi pensyarahnya. Reputasi ini bukan saja dari segi kelayakan akademik dan profesional malah dalam pembabitan aktif secara berterusan membangunkan korpus ilmu dan kepakaran yang diiktiraf pada peringkat antarabangsa.

Itulah sebabnya pasaran kerja di kalangan ahli akademik antarabangsa sudah menjadi lebih dinamik dan kompetitif. Ramai profesor terkenal ditawarkan pakej perkhidmatan lumayan yang bukan saja dari segi gaji bahkan disediakan sumber kewangan untuk geran penyelidikan, pembantu penyelidik dan peralatan canggih.

Dalam beberapa kes tertentu, seseorang profesor ternama yang baru dilantik turut diberi kemudahan lain seperti sekumpulan pensyarah serta penyelidik peringkat pasca kedoktoran dan cuti sabatikal.

Apakah Malaysia bersedia untuk mengalami perubahan drastik dalam sektor pengajian tinggi untuk bersaing pada peringkat global? Jawapannya tersurat dalam dokumen Pelan Strategik Pengajian Tinggi Negara (PSPTN) yang dilancarkan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pada 27 Ogos lalu.

Pada hemat saya, dalam konteks penarafan THES, PSPTN memang jawapannya tetapi beberapa isu dan langkah strategik perlu diberi keutamaan. Sehubungan itu saya mencadangkan inisiatif berikut diberi keutamaan segera:

l Pelaksanaan autonomi di kalangan universiti terpilih dari segi urus tadbir dan kewangan

l Kepemimpinan akademik yang lebih dinamik, luwes dan proaktif, terutama peringkat jabatan

l Penekanan aktiviti akademik mestilah berpaksikan kepada penerbitan dalam jurnal ternama peringkat antarabangsa, khususnya dari segi penilaian untuk kenaikan pangkat

l Perlantikan profesor ternama sebagai staf universiti yang turut dibiayai agensi penyedia geran penyelidikan, dan

l Peningkatan jumlah pelajar asing khususnya pada peringkat ijazah lanjutan.

Profesor Datuk Dr Zaini Ujang ialah Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) di Universiti Teknologi Malaysia

No comments: