13 November 2007

Pegawai usah salah guna kuasa: KSN

Berita Harian

PUTRAJAYA: Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Sidek Hassan sekali lagi mengingatkan penjawat awam supaya tidak menyalahgunakan kuasa bagi kepentingan diri dan keluarga.

Beliau berkata, penjawat awam perlu memastikan keadilan dan kesaksamaan ditegakkan dalam apa juga keadaan, khususnya dalam melaksanakan sistem penyampaian kerajaan.

"Saya ingin mengingatkan diri sendiri dan penjawat awam supaya jangan salah guna kuasa.

"Anda diamanahkan kuasa tertentu dan kuasa ini bertanggungjawab besar bagi melaksanakan agenda pembangunan negara dan untuk kebajikan rakyat," katanya pada Majlis Khidmat Bakti anjuran Jabatan Perdana Menteri (JPM) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini, malam tadi.

Majlis itu diadakan bagi meraikan 111 pegawai kanan kerajaan yang bersara dan 44 pegawai kanan baru dilantik.

Antara yang diraikan, ialah bekas Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN), Tan Sri Aseh Che Mat; bekas Ketua Pengarah Kerja Raya, Datuk Seri Dr Wahid Omar dan bekas Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Mustafa Abdul Rahman.

Mohd Sidek berkata, penjawat awam termasuk pegawai pengurusan tertinggi perlu menjadikan kepincangan salah urus dana awam seperti yang terkandung dalam Laporan Ketua Audit Negara 2006 sebagai panduan.

"Biarlah Laporan Ketua Audit Negara 2006 menjadi panduan supaya kesilapan sama tidak berulang.

"Pihak atasan bertanggungjawab untuk memastikan pegawai atau kakitangan bawahan menggunakan nilai dan etika yang betul termasuk cekap serta jujur dalam bertugas," katanya.

Katanya, pegawai kanan kerajaan yang bersara diharap dapat terus menyumbang bakti kepada negara dengan menyertai syarikat berkaitan kerajaan (GLC) atau organisasi lain.

"Saya berharap pegawai kanan yang bersara dapat terus belajar sesuai dengan konsep pembelajaran sepanjang hayat. Selain aspek kerohanian, banyak bidang lain termasuk seni landskap atau perkomputeran boleh dipelajari pesara," katanya.

Sementara itu, Aseh ketika berucap mewakili pegawai kanan kerajaan yang bersara berkata, kerajaan diharap dapat menimbang cadangan melanjutkan usia persaraan kepada 60 tahun.

"Usia persaraan 60 tahun dianggap sesuai ketika ini dengan pegawai kanan kerajaan boleh terus menyumbang bakti kepada kerajaan," katanya.

No comments: