16 November 2007

Lantikan Gred DS51 mesti penuhi syarat

Berita Harian

KEMENTERIAN Pengajian Tinggi merujuk kepada surat bertajuk ‘Pensyarah Gred DS45 minta diselaras’ oleh Pensyarah PhD DS45, Kuala Lumpur yang disiarkan pada 14 September lalu. Adalah dimaklumkan bahawa skim perkhidmatan pensyarah universiti yang berkuat kuasa sekarang memperuntukkan lantikan terus pada Gred DS45/DS51/DS53 dan Gred Khas C.

Syarat yang ditetapkan oleh skim perkhidmatan sebelum seseorang calon itu dilantik terus ke Gred DS51 adalah mempunyai kelayakan akademik yang ditetapkan, membuktikan tahap kecemerlangan akademik yang istimewa mutunya dan mempunyai pengalaman luas dalam bidang berkaitan.

Semua pelantikan yang tidak memenuhi syarat untuk lantikan ke Gred DS51 adalah menyalahi skim perkhidmatan dan tidak dibenarkan.

Kementerian meminta institusi pendidikan tinggi awam (IPTA) mempercepatkan proses kenaikan pangkat ke Gred DS52 atau lain-lain gred yang lebih tinggi bagi pensyarah Gred DS45 yang memiliki PhD dan memenuhi semua syarat kenaikan pangkat seperti yang ditetapkan oleh skim perkhidmatan.

NUR ASHIKIN OTHMAN,

Ketua Unit Media & Komunikasi Korporat, KPT

No comments: