12 November 2007

JPJ teruskan operasi perangi kereta sapu

Utusan Online

PADANG BESAR 11 Nov. – Di sebalik ugutan berupa nota ancaman yang disertakan peluru hidup, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Perlis hari ini meneruskan operasi ‘memerangi’ perkhidmatan kereta sapu dari negara jiran.

Namun, bezanya kali ini, agensi penguatkuasaan itu tidak mengeluarkan sebarang saman atau kompaun tetapi mengedarkan risalah berhubung garis panduan peraturan yang perlu dipatuhi oleh kenderaan dan pemandu asing yang memasuki Malaysia.

Risalah yang mengandungi tiga bahasa iaitu bahasa Malaysia, Thai dan Inggeris itu diedarkan bertujuan menyedarkan rakyat asing tentang perlunya mematuhi segala peraturan jalan raya di negara ini.

Antara lain ia mengingatkan pemandu asing supaya mempamerkan nombor pendaftaran dalam huruf roman serta mempunyai perakuan pendaftaran dengan terjemahan bahasa Malaysia serta Inggeris.

Pengarah JPJ Perlis, Zahari Awang Senik berkata, sebanyak 1,000 risalah diedarkan kepada pemandu asing yang memasuki pintu masuk sempadan negara di Perlis.

‘‘Kita mahu mereka mengambil perhatian serius segala peraturan jalan raya yang dikuatkuasakan di negara ini bagi mengelak dikenakan tindakan,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di pintu masuk sempadan negara di sini.

Turut sama mengedarkan risalah tersebut ialah Pengerusi Jawatankuasa Pengangkutan negeri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri kawasan Simpang Empat, Zahari Bakar.

Rabu lalu, Zahari mendakwa menerima ugutan daripada pihak tidak dikenali yang dipercayai mempunyai kaitan dengan penyamaran serta ketegasannya memerangi perkhidmatan kereta sapu haram.

Melalui sekeping surat yang tertera perkataan ‘BERHATI2’, ia turut disertakan dengan sebutir peluru hidup.

Sehubungan itu, beliau kemudian membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Kangar.

Mengulas lanjut, Zahari berkata, walaupun menerima ugutan, pihaknya akan terus melancarkan operasi dan mengambil tindakan terhadap mana-mana kenderaan asing yang menyalahi undang-undang di negara ini.

Dalam perkembangan lain, beliau menjelaskan sepanjang ‘Ops Sikal’ yang dilancarkan sejak 5 November lalu, pihaknya telah mengeluarkan 210 saman kepada penunggang motosikal di Perlis.

‘‘Daripada jumlah itu, sebanyak 22 buah motosikal dan sebuah lori disita,” tambahnya.

No comments: