17 November 2007

PBT bukan bidang kuasa Kerajaan Persekutuan

Utusan Online

KUALA LUMPUR 16 Nov. – Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan hari ini menjelaskan, pihak berkuasa tempatan (PBT) di bawah bidang kuasa pentadbiran negeri, kata kenyataan kementerian itu di sini hari ini.

Kenyataan itu sekali gus menyangkal pandangan Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Warisan (KeKKWa), Datuk Seri Dr. Rais Yatim semalam yang menyatakan bahawa PBT bukan di bawah bidang kuasa kerajaan negeri.

Tambah kenyataan tersebut, kementerian itu menjelaskan, Perkara 74 Jadual 9 Senarai Kedua - Senarai Negeri Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan PBT sebagai di bawah bidang kuasa pentadbiran negeri.

Bagaimanapun, katanya, Perkara 76 Perlembagaan Persekutuan pula menggariskan Kerajaan Persekutuan boleh membuat undang-undang untuk negeri-negeri dalam hal-hal tertentu bagi mengadakan persamaan undang-undang dan dasar melalui Mesyuarat Majlis Negara Bagi Kerajaan Tempatan (MNKT).

Majlis tersebut, kata kenyataan itu, ia dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri di bawah Perkara 95A Perlembagaan Persekutuan.

‘‘Ini jelas menunjukkan PBT bukan di bawah bidang kuasa Kerajaan Persekutuan, khususnya di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan,’’ kata kenyataan itu.

Semalam, Rais dilaporkan berkata, kerajaan negeri Selangor menerusi tindakan Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Mohamad Khir Toyo telah melanggar sempadan pentadbiran yang bukan dalam bidang kuasanya apabila menghadiahkan penyapu kepada pegawai PBT yang tidak menunjukkan prestasi cemerlang.

No comments: