29 August 2007

Dr Aminah dilantik Naib Canselor UPSI

Berita Harian


TIMBALAN Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Prof Datuk Dr Aminah Ayob (gambar) dilantik sebagai naib canselor baru universiti itu, berkuat kuasa 1 September ini.

Pelantikan secara kontrak sehingga Ogos 2010 itu menjadikan beliau naib canselor wanita ketiga menerajui institusi pengajian tinggi awam (IPTA), selepas Naib Canselor Universiti Malaya (UM), Datuk Dr Rafiah Salim dan Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof Datuk Dr Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin.


Bahagian Perhubungan Awam universiti itu dalam kenyataannya di Kuala Lumpur semalam berkata, pelantikan itu bagi menggantikan Datuk Muhammad Rais Abdul Karim yang tamat kontrak perkhidmatannya Jumaat ini.

Aminah, anak jati Pulau Pinang mendapat pendidikan rendah di Sekolah Kebangsaan Air Itam dan seterusnya ke Sekolah Menengah (SM) Abdullah Munshi dan SM Sultan Abdul Halim, Jitra, Kedah.

Selepas menamatkan tingkatan enam, beliau meneruskan pengajian di Maktab Perguruan Temenggong Ibrahim, Johor Bahru, kemudian mengikuti jurusan Sains Biologi di UM pada 1978.

Beliau pernah mengajar dua tahun di Sekolah Menengah Sungai Ara, Pulau Pinang sebelum berkhidmat di Universiti Sains Malaysia.

Setelah itu beliau melanjutkan pengajian peringkat sarjana di University of Iowa, Amerika Syarikat pada 1980 dan doktor falsafah di University of Keele, UK pada 1986.

Aminah pernah menjadi Timbalan Dekan (Akademik) UPSI, mulai 1994 hingga 1997, seterusnya dekan hingga dilantik Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) pada 1 Disember 2005.

Antara sumbangannya membantu Kementerian Pelajaran menggubal kurikulum sains sekolah rendah dan menengah serta mengendalikan kursus dalam perkhidmatan kepada guru.

Beliau juga ahli Majlis Kurikulum Tertinggi Kementerian Pelajaran sejak 1998 dan pernah dilantik sebagai Pengerusi Majlis Dekan-Dekan Pendidikan IPTA, Ahli Majlis Penasihat Bahagian Pendidikan Guru Kementerian Pelajaran, Panel Penilai Lembaga Akreditasi Negara, Ahli Majlis Suruhanjaya Kebangsaan (Pendidikan) Unesco Malaysia.

Selain itu, beliau turut aktif dalam pelbagai agensi dan badan bukan kerajaan, antaranya Malaysian Education Research Education, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan Prasekolah, Majlis Penasihat Pendidikan Pulau Pinang dan Penasihat Majlis Guru Cemerlang Pulau Pinang.

Malah pada 1999, beliau dilantik sebagai wakil Malaysia selama tiga tahun oleh Commonwealth Secretariat for Education, United Kingdom, di samping terbabit dalam beberapa penyelidikan.

No comments: