30 August 2007

Rasuah: 262 ditahan sejak Januari

Berita Harian


KUALA KUBU BHARU: Ketua Pengarah Badan Pencegah Rasuah (BPR), Datuk Ahmad Said Hamdan, mendedahkan 50 peratus daripada tangkapan dilakukan sehingga Jun lalu kerana kesalahan jenayah rasuah membabitkan kakitangan kerajaan.

Beliau berkata, 131 kakitangan kerajaan, daripada kumpulan pegawai sokongan (109) dan pengurusan serta profesional (22) ditahan selepas BPR menerima maklumat berhubung kesalahan rasuah dilakukan mereka.

“Antara Januari dan Jun lalu, 262 orang ditahan selepas BPR menerima 6,383 maklumat rasuah.

“Sepanjang tahun lalu pula, daripada 546 tangkapan, 70 peratus membabitkan kakitangan kerajaan manakala 30 peratus lagi swasta dan lain-lain,” katanya selepas merasmikan Majlis Tamat Latihan Asas Penolong Pengusaha BPR di Maktab Polis Diraja Malaysia di sini, semalam.

Turut hadir Timbalan Ketua Pengarah I (Operasi) BPR, Datuk Abu Kassim Mohamed.

Sebanyak 33 pegawai BPR menamatkan latihan asas mereka selepas tiga bulan di maktab itu.

Ahmad Said berkata, perangkaan BPR mendapati penjawat awam kini banyak membantu BPR dalam membanteras jenayah rasuah dan ini menyebabkan 50 peratus daripada pemberi rasuah ditahan.

“Ini menunjukkan kesedaran yang nyata penjawat awam bagi membanteras gejala rasuah,” katanya.

Beliau berkata, dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini juga, 58 orang atau 22 peratus daripada 262 ditahan kerana kesalahan memberi rasuah kepada penjawat awam.

Katanya, ini berbeza berbanding tahun lalu, hanya 19 peratus yang ditahan kerana memberi rasuah kepada penjawat awam.

“Bagi kesalahan cubaan memberi rasuah, dalam tempoh dua tahun saja, jumlah kertas siasatan dibuka juga bertambah iaitu daripada 61 kes pada 2003 kepada 117 kes pada 2006.

“Bagi 2007 (hingga Jun) 59 kertas siasatan dibuka bagi kesalahan sama,” katanya.

Ahmad Said berkata, peningkatan kes siasatan itu menunjukkan wujudnya pertambahan maklumat yang disalurkan penjawat awam kepada BPR selepas mereka cuba disogok.

Sementara itu, Abu Kassim ketika ditanya mengenai siasatan kes pegawai polis yang disyaki memalsukan pernyataan saksi bagi mengaitkan Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan, dengan dakwaan rasuah, menyalahgunakan kuasa dan bersekongkol dengan penjenayah, berkata, siasatan kini di peringkat akhir.

“Siasatan kes itu kini dalam fasa terakhir dan akan diserahkan kepada Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail, secepat mungkin,” katanya.

BPR mengenal pasti pegawai polis yang disyaki memalsukan pernyataan saksi bagi mengaitkan Musa dengan dakwaan rasuah itu.

Berikutan itu, BPR sudah mengambil keterangan pegawai polis terbabit untuk membantu siasatan.

Musa dalam kenyataannya sebelum ini percaya ada pegawai dalam PDRM cuba menjatuhkannya dengan membuat tuduhan tidak berasas untuk mencemar nama baik dan imejnya dengan mendakwanya menerima RM2 juta bagi membebaskan tiga tahanan Ordinan Darurat.

No comments: