29 August 2007

Transformasi IPT disokong PSPTN

Berita Harian

Pelbagai pihak anggap PSPTN langkah tepat bagi perkasa pendidikan

KUALA LUMPUR: Pelbagai pihak sepakat menyokong Pelan Strategik dan Pelan Tindakan Pengajian Tinggi (PSPTN) bagi proses transformasi dan pembaharuan sektor pengajian tinggi negara dengan menyifatkannya sebagai langkah tepat dan perlu disegerakan.
Mereka percaya jika pelan dan tindakan itu dilaksanakan, Malaysia mampu memperkasakan sektor pendidikan tinggi negara, sekali gus menjadi hab pengajian tinggi di rantau ini.
Presiden MCA, Datuk Seri Ong Ka Ting berkata pengenalan pelan itu bakal meningkatkan daya saing institusi pengajian tinggi awam IIPTA) iaitu sebagai tambahan bagi mendorong inovasi dalam negara sebagai pusat pembelajaran dan pengajaran.
Beliau berharap semua universiti akan lebih bermotivasi untuk mencapai objektif menjadi pusat kecemerlangan akademik Malaysia atau institusi pendidikan bertaraf dunia.
Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Datuk Reezal Merican Naina Merican berkata, kedua-dua pelan itu adalah rangka kerja jangka masa panjang yang holistik.
“Ia dapat memastikan modal insan yang dilahirkan IPTA dan IPTS boleh dipasarkan dan tenaga pensyarah lebih tersohor di samping budaya penyelidikan terus mekar dan segar,” katanya.
Sehubungan itu, GPMS mencadangkan penubuhan jawatankuasa Kabinet yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi bertujuan membuat unjuran guna tenaga bersepadu bagi memastikan permintaan dan penawaran sentiasa tepat.
“GPMS tidak mahu episod graduan yang dikeluarkan universiti tidak selari dengan pasaran sama ada dalam sektor swasta atau sektor berkaitan. Kita juga berharap jawatankuasa peringkat kementerian diwujudkan bagi merancang, menilai kualiti dan kuantiti infrastruktur serta persekitaran universiti supaya bertaraf piawaian antarabangsa,” katanya.
Naib Canselor Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof Datuk Dr Mohd Zulkifli Mohd Ghazali, berkata usaha mewujudkan universiti Apex juga langkah proaktif membentuk persaingan di kalangan IPTA dan IPTS.
Beliau berkata, pelaksanaan pelan itu baik kerana ia memberi kuasa autonomi kepada pihak pengurusan menjana ekonomi menerusi aktiviti penyelidikan, pembangunan dan komersial tanpa bergantung sepenuhnya bantuan kerajaan.
Presiden Universiti Terbuka Malaysia, Prof Tan Seri Anuwar Ali, berkata usaha berkenaan adalah langkah rasional dalam proses pendemokrasian pendidikan menerusi modul serta pendidikan anjal.
Katanya, kaedah pembelajaran lebih fleksibel, memberi peluang masyarakat terutama yang sedang bertugas dalam agensi kerajaan dan swasta meningkatkan pengetahuan dengan melanjutkan pengajian lebih tinggi.

Mengenai proses pendidikan sepanjang hayat, beliau berkata, ia mempunyai keistimewaan tersendiri kerana pelajar sentiasa mengemaskini pengetahuan dalam sesuatu bidang dari semasa ke semasa.
Tokoh pendidik, Prof Datuk Dr Kamaruddin Kachar, pula menggariskan empat faktor utama yang perlu dilaksanakan bagi menjayakan pelan berkenaan, iaitu pengurusan, teknik pengajaran dan pembelajaran, hal ehwal pelajar dan pengendalian projek penyelidikan.
Bagi memantapkan pengurusan universiti, beliau berkata naib canselor perlu berwibawa dengan mengambil kira kelulusan serta pengalaman dalam pentadbiran universiti.
“Setiap pensyarah pula perlu dilatih teknik pengajaran termasuk mengendalikan sesi kuliah besar, seminar dan tutorial. Di negara kita, hanya satu peringkat dilaksanakan iaitu kuliah yang dihadiri ratusan pelajar pada satu sesi,” katanya.
Pengarah Eksekutif Yayasan Strategik Sosial, Datuk Dr Denison Jayasooria pula berkata, pelan itu mempunyai sasaran dan wawasan yang jelas untuk meningkatkan kualiti pendidikan pengajian tinggi negara.
Katanya, tujuh teras yang digariskan mencakupi semua aspek yang diperlukan bagi pembinaan bangsa kerana ia turut menekankan pembinaan modal insan.
“Teras pertama memperlihatkan sasaran pelan itu jelas dan tepat untuk meningkatkan kualiti pendidikan negara. Menerusi teras kedua, kerajaan mensasarkan 75 peratus pengajar di universiti memperoleh PhD,” katanya.
“Langkah memberikan autonomi kepada Lembaga Universiti pula mampu menjadikan institusi berkenaan lebih berdikari dan tidak terikat dengan birokrasi Kementerian Pengajian Tinggi. Ini sebenarnya sudah lama dipraktikkan di luar negara,” katanya.

No comments: