Transformasi IPT -- PM umum 3 langkah khas dalam Pelan Strategik Pengajian Tinggi Negara
Utusan Online
Oleh Habibah Omar dan Muhd. Nizam Yatim
PUTRAJAYA 27 Ogos – Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hari ini melancarkan Pelan Strategik Pengajian Tinggi Negara yang memperkenalkan tiga langkah khas untuk mencetuskan transformasi dan membawa pembaharuan kepada institut pengajian tinggi (IPT) negara ini.
Di bawah rancangan jangka panjang yang dinamakan Pelan Strategik Pengajian Tinggi Negara Melangkaui Tahun 2020 itu, Perdana Menteri menetapkan matlamat untuk meningkatkan kualiti pelajar, keupayaan pensyarah, infrastruktur IPT dan membina rangkaian dengan institusi-institusi pendidikan tinggi ternama dunia.
Tiga langkah khas itu ialah:
* Meningkatkan tadbir urus sendiri di kalangan IPT awam yang akan dilaksanakan serta-merta;
* Melaksanakan audit prestasi akademik ke atas semua IPT awam dan swasta; dan
* Memperkenalkan status universiti apeks (apex) di kalangan universiti tempatan.
Menurut Perdana Menteri, sebagai saluran utama penjanaan modal insan, IPT di negara ini perlu diberikan perhatian khusus kerana melaluinya akan lahir generasi muda yang berpendidikan, berkemahiran, kreatif, inovatif, bersikap progresif dan berfikiran kritis.
‘‘Saya percaya masanya telah tiba untuk kita mentransformasikan IPT negara,” kata Abdullah ketika berucap melancarkan pelan strategik itu di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya di sini.
Majlis pelancaran pelan strategik tersebut dihadiri lebih 3,000 hadirin termasuk naib-naib canselor IPT awam dan swasta, tokoh-tokoh pendidik, pensyarah universiti, pelajar dan para pemimpin korporat.
Pada majlis yang turut dihadiri oleh Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Mustapa Mohamed dan Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein itu, Perdana Menteri memberitahu, bagi meningkatkan tadbir urus IPT, lembaga pengarah kolej dan universiti awam akan diberikan kuasa autonomi.
Kerajaan, kata Abdullah, berharap dengan wujudnya kuasa autonomi IPT yang dicadangkan dalam pelan strategik itu, negara berupaya bertindak lebih pantas menyahut cabaran perubahan yang berlaku dalam bidang akademik, ekonomi dan sosial.
‘‘Saya ingin melihat lembaga pengarah IPT menggunakan autonomi mereka itu untuk memperkenalkan perubahan serta pembaharuan yang akan mempertingkatkan IPTA masing-masing,” katanya.
Beliau menegaskan, aspek kritikal seperti tadbir urus, kepimpinan akademik, pengajaran, pembelajaran, penyelidikan dan pembangunan (R&D) perlu ditangani untuk membolehkan institusi pendidikan tinggi diberikan nafas baru dan terus berkembang maju.
Pelan Strategik Pengajian Tinggi Negara yang dilancarkan petang ini menggariskan tujuh teras strategik iaitu meluaskan akses dan meningkatkan ekuiti, menambah baik kualiti pengajaran dan pembelajaran, memperteguhkan penyelidikan dan inovasi, memperkasa IPT, mempergiat pengantarabangsaan, membudayakan pembelajaran sepanjang hayat dan mengukuhkan sistem penyampaian Kementerian Pengajian Tinggi.
Pelan strategik setebal 167 halaman itu disokong dengan siri pelan bertindak jangka pendek yang digariskan di bawah Pelan Tindakan Pengajian Tinggi Negara 2007-2010 yang turut dilancarkan serentak.
Bagi memantapkan IPT, Perdana Menteri juga mengumumkan pelaksanaan audit prestasi akademik ke atas semua IPT awam dan swasta untuk memastikan kualiti pendidikan berada pada tahap yang memuaskan.
Untuk menjamin integriti dan kesahihan audit itu, katanya, sebuah jawatankuasa penilaian bebas akan diwujudkan dengan ahli-ahlinya terdiri daripada pakar dari luar Kementerian Pengajian Tinggi.
Abdullah menyarankan semua pihak menerima penilaian bebas itu sebagai satu langkah konstruktif yang akan membolehkan IPT negara ini menguruskan diri ke arah mencapai tahap kualiti bertaraf dunia.
Perdana Menteri turut mengumumkan rancangan kerajaan untuk mewujudkan universiti apeks iaitu gagasan universiti terunggul yang menjadi kemuncak aspirasi pengajian tinggi negara.
‘‘Sebuah jawatankuasa kerja akan ditubuhkan oleh kementerian untuk merangka satu kriteria dan pelan bagi membangunkan universiti apeks dengan komitmen diberikan oleh kementerian bahawa pelan tersebut akan siap dalam tempoh 12 bulan,” katanya.
Abdullah mencabar Kementerian Pengajian Tinggi supaya menubuhkan sekurang-kurangnya sebuah universiti apeks di Malaysia sebelum Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) tamat pada 2011.
Pelan Strategik Pengajian Tinggi Negara Melangkaui Tahun 2020 dirancang oleh Kementerian Pengajian Tinggi selepas mendapat input daripada para pelajar, majikan, industri, parti-parti politik, pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO) selain laporan-laporan naib canselor serta para pegawai universiti awam dan swasta.
Ia juga mengambil kira Laporan Hala Tuju Pengajian Tinggi Tan Sri Wan Zahid Nordin 2005, Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9), Laporan Bank Dunia mengenai pendidikan tinggi di Malaysia serta sinergi antara Kementerian Pelajaran dan Kementerian Pengajian Tinggi.
Pelan strategik itu merupakan kesinambungan daripada Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) yang disediakan oleh Kementerian Pelajaran untuk pendidikan peringkat rendah.
No comments:
Post a Comment