05 June 2008

Pakar perubatan kesihatan dipinggir

Berita Harian

ISU pakar perubatan kesihatan awam sering diketengahkan melalui akhbar selain diajukan kepada Kementerian Kesihatan dan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) tetapi sehingga kini tiada tindakan susulan diambil.

Bermula 2004, isu pakar perubatan kesihatan awam sudah mula dipinggirkan dari segi pengiktirafan kepakaran, penempatan dan juga kenaikan pangkat. Seperti pakar perubatan lain, pakar perubatan kesihatan awam perlu menghabiskan empat tahun tempoh pengajian di mana-mana universiti melalui sesi pembelajaran, penempatan untuk latihan, menyiapkan tesis dan menghadapi peperiksaan setiap tiga bulan selain peperiksaan tahunan.

Tetapi, apabila berjaya menamatkan pengajian peringkat sarjana, kami hanya layak menerima 80 peratus elaun pakar iaitu insentif pakar kesihatan awam. Persoalannya, kenapakah tidak diberi 100 peratus seperti pakar lain? Adakah kami bukan pakar? Jika ada masalah dari segi silibus pengajian peringkat sarjana, ia perlu diubah dan dibincangkan.

Umum mengetahui skop kerja pakar perubatan kesihatan awam berbeza dengan pakar klinikal lain dan skop kami lebih kepada penggalakan, mencegah dan pemulihan. Tanpa kesihatan awam, saya menjangkakan beban hospital bertambah dengan kemasukan lebih ramai pesakit.

Bermula 2005 hingga sekarang, kenaikan pangkat pakar perubatan kesihatan awam juga terbantut. Saya merujuk kepada diri yang sudah berkhidmat dengan Kementerian Kesihatan selama 11 tahun dan memulakan kerjaya sebagai pakar perubatan kesihatan awam sejak 2005.

Saya sekarang memangku U44 sejak dua tahun lalu tanpa disahkan dalam gred U44 dan kenaikan pangkat ke gred U48 nampaknya masih kabur. Ini terbukti dengan pengakuan, alasan dan penerangan yang dikeluarkan pegawai di Bahagian Sumber kementerian dan JPA. Apabila ditanya mengenai status kenaikan pangkat, alasan diberi masih dalam proses atau sedang dikemas kini.

Saya merayu semua pihak yang bertanggungjawab supaya melayan kakitangan awam secara adil dan sama rata. Menafikan hak pegawai profesional untuk peluang kenaikan pangkat akan menyebabkan terbantutnya sistem perkhidmatan awam.

DR ROSMAH,
Pakar Perubatan Kesihatan Awam.

1 comment:

Anonymous said...

Saya adalah salah seorang yang senasib dengan Dr Rosmah. Memberikan komen di dalam blog bukanlah cara terbaik kerana ia secara tidak langsung memberikan imej yang kurang sihat kepada perkhidmatan awam. Walau bagaimanapun, sampai bila kita perlu bersabar apabila saluran-saluran rasmi tidak diendahkan, malah adakalanya dipersetankan.

Adalah malang apabila bahagian yang bertanggungjawab di KKM dalam menangani perkara ini tidak memahami siapakah pelanggan mereka yang sebenar. Pelanggan bagi mereka adalah pengacau dan senarusya hanya perlu dilayan seperti pembangkang. Walhal mereka sama-sama di bawah satu payung iaitu perkhidmatan awam.

Aduan pelanggan seringakali dijawab secara tidak profesional, acuh idak acuh, janji yang tidak ditepati, tidak telus dan sentiasa cuba untuk meletakkan kesalahan di atas bahu pihak lain seperti JPA dan Bahagian-bahagian lain di KKM. Contoh-contonya ialah:

1. Pada awal tahun 2007, bahagian tersebut pernah menguruskan urusan pemangkuan pegawai perubatan gred 41 ke 48 yang tidak adil kerana tiada kriteria pemilihan yang jelas di mana ramai yang layak tidak tersenarai manakala ramai yang tidak layak tersenarai. Seperti yang dijangkakan pegawai di bahagian berkenaan menyalahkan pihak-pihak lain selain mereka sendiri seperti JKA, JPA dsb. Bila diajukan kriteria yang telah digunapakai, mereka tidak telus dan tidak dapat menjawab sehingga kini.

2. Pegawai perubatan gred 41 belum disahkan ke jawatan gred 44 walaupun telah memangku semenjak jun 2006. Akibatnya mereka semua tidak boleh mengambil PTK 4 berbanding rakan-rakan mereka di skim bukan pegawai perubatan. Pelbagai alasan diberikan oleh pegawai daripada bahagian yang bertanggunjawab berkenaan seperti jumlah pegawai perubatan yang terlalu ramai berbanding skim jawatan yang lain, dalam proses, senarai telah dihantar ke JPA, senarai tidak dikemaskini oleh JKA dsb. Mereka tidak sedar bahawa kami bukanlah sedungu seperti yang mereka jangkakan kerana bukan sukar untuk menilai samada mereka bercakap benar ataupun dusta.

4. Sering memberikan janji manis bahawa urusan pemangkuan gred U48 sedang dan akan diproses. Walau bagaimanapun setelah hampir 2 tahun, janji hanya tinggal janji. Adakalanya mereka menyatakan bahawa senarai nama telah dihantar ke JPA. Tetapi selepas semakan di buat, pihak JPA menafikan bahawa mereka telah menerima senarai yang dimaksudkan.

Itu adalah contoh-contoh sikap tidak profesional bahagian berkenaan. Mereka seolah-olah merasakan bahawa KKM hanyalah di bawah kawalan mereka. Mereka lupa, setinggi manapun kuasa manusia, ada kuasa lain yang lebih besar yang sentiasa memerhatikan mereka. Seharusnya mereka memperbaiki mutu perkhidmata dengan menjadi lebih:

1. Telus.
2. Menepati janji.
3. Profesional

Hayatilah budaya korporat KKM iaitu penyayang, kerja berpasukan dan profesionalme.

MO Tua Yang Setia dengan KKM