14 April 2008

NUTP sertai Cuepacs boikot Hari Pekerja

Berita Harian

KUALA LUMPUR: Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) akan turut menyertai Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) memulaukan sambutan Hari Pekerja.

Presidennya, Anuar Ibrahim, berkata ini kerana kesatuan itu adalah salah satu anggota gabungan dalam Cuepacs.

“Kita kenalah ikut keputusan kongres, kalau dalam mesyuarat bolehlah kita bantah, tapi kalau kongres sudah buat keputusan untuk boikot kita kena akur,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan bengkel ’Kecemerlangan Sistem Penyampaian’ di Institut Kefahaman Islam Malaysia di sini, hari ini.

Cuepacs, pada 2 April lalu mengumumkan akan memboikot sambutan Hari Pekerja anjuran Kementerian Sumber Manusia pada 3 Mei ini dan satu lagi sambutan anjuran Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) pada 29 Mei jika kerajaan gagal memberi kata putus berhubung lima tuntutan kesatuan itu.

Lima tuntutan itu ialah pembayaran sagu hati RM2,000 kepada semua kakitangan kerajaan; menaikkan elaun perumahan dari RM180 sebulan kepada RM230; meminta JPA menghapuskan peperiksaan Penilaian Tahap Kecekapan (PTK) untuk kakitangan Kumpulan Sokongan I dan II (Gred 1 hingga 40), memberikan semula Elaun Kritikal bagi Kumpulan Sokongan Dua yang ditarik balik pada Februari lalu dan melanjutkan umur persaraan wajib dari 56 tahun kepada 60 tahun.

Dalam ucapannya, Anuar meminta para guru supaya sentiasa menambah ilmu pengetahuan dari semasa ke semasa supaya tidak ketinggalan terutama dalam bidang teknologi komunikasi maklumat (ICT).

“Cikgu adalah contoh kepada pelajar jadi cikgu jangan terlalu jumud dan jangan ingat apa yang dipelajari di universiti dulu boleh digunapakai pada zaman sekarang.

“Anak murid kita kini lebih terdedah dengan ICT, jadi cikgu perlu tambah ilmu ke arah itu,” katanya.

Seramai 200 peserta dari pelbagai jabatan kerajaan, swasta dan kalangan guru menghadiri bengkel sehari itu.

Bengkel itu antara lain mendedahkan peserta kepada kaedah cetusan kecemerlangan organisasi dan pengurusan berdasarkan al-Quran dan Hadis, membentuk jati diri bagi kecemerlangan sistem penyampaian dan memahami tanggungjawab dalam sistem penyampaian.

— Bernama

1 comment:

Kecupu Villa said...

http://kecupuvilla.blogspot.com