19 April 2008

Kamarulzaman dilantik Panglima Armada TLDM

Berita Harian

UMUT: Laksamana Madya Datuk Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badarudin, 49, secara rasmi mengambil alih jawatan Panglima Armada Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) ke-17 daripada Laksamana Madya Datuk Amdan Kurish, berkuat kuasa semalam.

Amdan, 53, pula dipinjamkan sebagai Ketua Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), menggantikan Laksamana Maritim Datuk Mohammad Nik yang bersara wajib.

Majlis serah terima tugas jawatan Panglima Armada itu diadakan di Markas Armada Pangkalan TLDM di sini, disaksikan Panglima TLDM, Laksamana Datuk Abdul Aziz Jaafar.

Pada majlis itu, Amdan menyerahkan teropong lambang pemerintah kepada Ahmad Kamarulzaman sebagai simbolik penyerahan jawatan, manakala Abdul Aziz pula menanggalkan lambang pemerintah armada pada baju Amdan untuk disematkan ke baju Ahmad Kamarulzaman.

Sebelum dilantik sebagai Panglima Armada, Ahmad Kamarulzaman adalah Panglima Wilayah Laut 2 di Kota Kinabalu, Sabah, dengan pangkat Laksamana Muda.

Sejak menyertai TLDM pada 1977, beliau pernah menjadi Pegawai Memerintah KD Jebat, Asisten Ketua Staf Rancang, Strategi dan Operasi Markas TLDM selain terbabit secara langsung dalam pengurusan pelan strategik 20 tahun pasukan itu termasuk aspek perolehan aset, pembangunan keupayaan serta merangka dasar operasi maritim.

Terdahulu, Abdul Aziz dalam ucapannya berkata, TLDM perlu sentiasa bekerjasama dengan agensi penguatkuasaan maritim lain seperti APMM dan Polis Marin bagi memelihara kedaulatan perairan negara dengan sentiasa memastikannya selamat daripada anasir tidak diingini.

Beliau berkata, setiap Panglima Armada mungkin menggunakan pendekatan berbeza dalam pentadbiran, tetapi matlamatnya tetap sama, iaitu bagi memastikan pasukan itu sentiasa bersiap sedia menentang ancaman musuh.

No comments: