19 April 2008

PKPIM bantah lanjut usia bersara

Khairul Anwar Shazali | Apr 18, 08 4:39pm

Saya terkejut dengan persetujuan kerajaan untuk meningkatkan had umur persaraan daripada 56 tahun kepada 60 tahun - satu daripada lima tuntutan Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Ceupacs) yang dipersetujui kerajaan dalam pertemuan dengan perdana menteri semalam.

Keputusan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi ini amat menyedihkan selepas tekanan Cuepacs untuk memboikot Hari Pekerja pada I Mei, kerajaan begitu senang sekali tunduk.

Saya tidak menolak kebaikan yang terhasil daripada empat tuntutan lain yang dipersetujui mengenai isu kadar pencen, pemansuhan Penilaian Tahap Kecekapan (PTK), pemberian semula elaun kritikal dan elaun perumahan.

Namun, tuntutan peningkatan had umur persaraan ini mempunyai dampak besar terhadap generasi muda hari ini.

Saya risau terhadap kesan daripada cadangan tersebut kepada peningkatan kadar pengangguran di Malaysia, khususnya dalam kalangan generasi muda.

Tambahan pula, dengan peningkatan 0.1 peratus kadar pengangguran kepada 3.4 peratus pada suku kedua tahun 2007 - berbanding dengan 3.3 peratus pada 2006 (sumber: Jabatan Perangkaan Malaysia).

Dengan data ini, lebih 369,000 orang penganggur di Malaysia dan 47 peratus daripadanya pencari kerja buat pertama kali – yakni pemegang sijil SPM, STPM, pelajar matrikulasi, pemegang diploma dan graduan.

Jelas bahawa hampir separuh daripada mereka terdiri daripada generasi muda.

Sekalipun dijangka kadar pengangguran akan turun dengan pelaksanaan Rancangan Malaysia ke-9 dan Misi Nasional, namun masih tiada jaminan bahawa generasi muda diberi tempat atau mendapat tempat yang sesuai kerana daripada sejumlah 47 peratus pencari kerja kali pertama itu, 53 daripadanya cuma memiliki sijil SPM.

Justeru, cadangan Ceupacs tersebut sekiranya diterima, akan menjejaskan peluang generasi muda untuk diserapkan sebagai kakitangan awam.

Ini disebabkan oleh lambakan kakitangan lama dalam perkhidmatan awam sehingga menutup peluang pekerjaan untuk generasi muda.

Tampak bahawa modal insan dalam kalangan generasi muda akan dipersia-siakan kerana tidak diserap dalam perkhidmatan awam pada usia muda untuk dilatih dan dipersediakan sebaiknya.

Ini juga dikhuatiri akan memberi kesan jangka masa panjang terhadap perkhidmatan awam.

Saya juga mencadangkan, kakitangan awam yang berminat untuk melanjutkan usia persaraan kepada 60 tahun, boleh diserapkan ke dalam skim lanjutan persaraan.

Sebelum itu, mereka perlu melepasi satu tahap kualiti yang ditetapkan. Sekiranya mereka berjaya melepasi tahap kualiti yang ditetapkan, barulah mereka dibenarkan melanjutkan umur persaraan mereka menerusi skim ini.

Dengan itu, hanya kakitangan awam yang benar-benar layak atas kapasiti kualiti sahaja akan dibenarkan meneruskan khidmat mereka sehingga umur 60 tahun.

Dengan itu, pengalaman dan kepakaran kakitangan awam yang diserap masuk di bawah skim ini boleh menyumbang kepada produktiviti perkhidmatan awam di samping membantu melatih dan menyediakan kakitangan awam yang muda-muda.

Penulis adalah naib presiden Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM)

1 comment:

Anonymous said...

CUEPAC kenapa x naikan umur persaraan ke 100 tahun.. kan senang? golongan muda x payah keja.x yah belajar tinggi2 dan sebagainya.ungkapan yang diwawarkan.. (GENERASI MUDA MASA DEPAN NEGARA)slogan je LEBIH..peluang x diberikan..kadar pengangguran meningkat.kes jenayah meningkat dll. disebabkan peluangkan kerja yg terhad.