DBP perlu Pengerusi dan Ketua Pengarah baru
Harakah
Hasnee Abbas
Mon | Apr 14, 08 | 8:35:21 pm MYT
Harakah terbitan 1-15 Mac 2007 telah menyiarkan peristiwa piket Kesatuan Pekerja-pekerja Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada 12 hingga 15 Februari 2007.
Piket tersebut diadakan kerana membantah campur tangan Pengerusi Lembaga Pengelola DBP Dato' Johan Jaafar dalam proses pelantikan jawatan Timbalan Ketua Pengarah DBP.
Setelah setahun piket tersebut berlalu, isu pelantikan Timbalan Ketua Pengarah DBP masih tidak selesai. Johan Jaafar bukan sahaja tidak berganjak dengan keputusannya, malah mengarahkan Ketua Pengarah DBP, Dato' Dr Firduas Abdullah melantik calonnya dengan berbohong kepada Menteri Pelajaran Malaysia waktu itu melalui surat yang dihantarnya dan meminta perakuan yang sepatutnya tidak berlaku kerana Jawatankuasa Lantikan dan Naik Pangkat DBP telah memutuskan calon yang selayaknya, tetapi Johan Jaafar ternyata tidak akur dengan keputusan tersebut, malah membuat keputusannya sendiri.
Di samping itu juga, meskipun Kesatuan Pekerja-Pekerja DBP menolak kedudukannya selaku Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, ternyata dengan rasa tidak bertangungjawab dan tidak bermaruah beliau terus memegang jawatan Pengerusi Lembaga Pengelola DBP hingga kini.
Perbuatan Johan Jaaffar mencampuri urusan pelantikan jawatan Timbalan Ketua Pengarah DBP dengan melantik orang yang tidak layak dari segi kewibawaan, kepakaran dalam bidang teras DBP dan tidak amanah serta menolak calon yang dipilih oleh Jawatankuasa Lantikan dan Naik Pangkat bukan sahaja melanggar tatacara Lembaga Pengelola DBP, juga melanggar akta DBP pindaan dan perluasan 1995 Unang-undang Malaysia Akta A 930 yang telah digubal oleh Parlimen Malaysia.
Pihak Kesatuan Pekerja-pekerja DBP telah meghantarkan surat dan memorandum bantahan kepada Perdana Menteri Malaysia, Badan Integriti Parlimen dan Menteri Pelajaran Malaysia tentang perbuatan Johan Jaaffar yang telah tidak menghormati dan melanggar Akta tersebut, tetapi sehingga Parlimen dibubarkan pada 13 Febuari 2008 ternyata Menteri Pelajaran Malaysia merangkap Ketua Pemuda Umno Malaysia yang sering bercakap berkobar-kobar di kaca tv, tidak memberikan respon dan tidak mengambil tindakan yang sewajarnya.
Mungkin tindakan tersebut tidak dilaksanakan oleh Menteri Pelajaran Malaysia waktu itu kerana didorong oleh maklumat daripada segelintir ahli Lembaga DBP yang bersekongkol serta dayus dengan perbuatan dan niat jahat Johan Jaaffar itu.
Faktor kedua, berkemungkinan kerana Menteri Pelajaran Malaysia waktu itu ialah seorang pemimpin muda yang hanya berani bercakap bergegar-gegar di Perhimpunan Agung Umno dengan menghunus keris kayu yang dicat, tetapi hatinya kerdil dan pengecut menyebabkan beliau tidak berani bertindak secara wajar.
Sepanjang Johan Jaffar menjadi Pengerusi Lembaga pengelola DBP, dia telah menggunakan kedudukannya dan bersubahat dengan Menteri Pelajaran Malaysia waktu itu (Ketua Pemuda Umno) untuk membawa masuk ahli-ahli politik muda Umno yang tidak ada langsung pengetahuan tentang fungsi teras DBP sebagai Ahli Lembaga Pengelola DBP.
Faktor inilah yang menyebabkan keadaan DBP menjadi mandur, kucar-kacir dan haru-biru serta berubah fungsi menjadi kelab pemuda Umno bukan badan pejuang bahasa dan sastera kebangsaan.
Manakala Ahli Lembaga Pengelola yang berlatar belakang bahasa, sastera, dan penerbitan hanya menjadi ahli yang minoriti dan 'pak turut' semata-mata. Hal seperti ini belum pernah berlaku sepanjang 51 tahun sejarah pelantikan Lembaga Pengelola DBP.
Kelemahan ini disebabkan oleh Menteri Pelajaran Malaysia merangkap Ketua Pemuda Umno yang percaya sepenuhnya kepada kelicikan Johan Jaaffar yang pintar beretorik tetapi tidak berilmu.
Johan Jaffar berbuat demikian dengan tujuan untuk mendapatkan sokongan daripada orang-orang politik bagi merealisasikan agenda politiknya dan untuk kepentingan peribadinya.
Johan menggunakan kedudukkannya selaku Pengerusi Lembaga Pengelola DBP sebagai tapak atau batu loncatan untuknya mendapat tempat dalam politik (kononnya dia akan menjadi ahli Parlimen Muar atau dilantik sebagai senator Dewan Negara) dan sekali gus mempolitikkan DBP.
Kedudukannya sebagai Pengerusi Lembaga Pengelola DBP ialah untuknya mencapai tujuan dan kepentingan peribadinya semata-mata dan bukan untuk memartabatkan DBP sebagai institusi bahasa dan sastera yang unggul di negara ini.
Banyak tindakan-tindakannya yang tidak mematuhi peraturan-peraturan DBP dan membelakangkan kedudukan ketua eksekutif DBP, umpamanya mengadakan Perhimpunan Pemuda Malaysia bagi membantah kekejaman Israel terhadap Palestin, Baca Puisi Puteri Umno, Wacana Tokoh-tokoh untuk golongan terpilih, memanggil sebuah syarikat terkenal untuk membuat kertas cadangan mengubahsuai bangunan lama DBP menjadi kota buku sedangkan kabinet telah meluluskan bahawa bangunan tersebut dijadikan muzium bahasa dan sastera, memanggil Ketua Bahagian di Jabatan Sastera menghadiri mesyuarat Jawatankuasa Sastera yang dipengerusikan olehnya tanpa melalui Ketua Pengarah DBP dan macam-macam arahan tidak langsung terhadap pengarah dan ketua bahagian di DBP supaya melaksanakan agendanya.
Dia juga memusuhi NGO dan badan-badan penulis seperti Gapena yang tidak mendukung agendanya. Maka wajarlah jika Kongres Bahasa dan Persuratan ke-VII menjadi kacau-bilau dan hampir-hampir tidak dapat dilaksanakan kerana tidakkan bodohnya yang tidak rasional dan professional.
Demi meneruskan agenda politiknya, maka wajarnya sepanjang PRU ke-12, dia berkubu di Parlimen Semberong, Johor berkempen dan mengampu Ketua Pemuda Umno Malaysia, dengan harapan supaya tempoh lantikannya sebagai Pengerusi Lembaga Pengelola DBP yang akan berakhir pada pertengahan bulan April 2008 ini dapat disambung lagi.
Sekiranya, Johan terus diberi kepercayaan memegang tapuk kekuasaannya di DBP, jangan sekali-kali terkejut apabila DBP akan menerima nasib yang sama dengan Barisan Nasional dan Umno yang kecundang dalam PRU ke-12.
* Penulis adalah YDP Kesatuan Pekerja-Pekerja DBP
No comments:
Post a Comment