15 April 2008

Pekerja kuari: CUEPACS mahu jumpa MB

Utusan Online

TEMERLOH 14 April - Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) akan menghantar memorandum kepada kerajaan negeri bagi menyelesaikan masalah 105 pekerja yang mungkin hilang pekerjaan apabila kuari Pekan Awah dekat sini diswastakan.

Presiden CUEPACS, Omar Osman menegaskan, pertemuan itu penting kerana pekerja kuari terbabit bersepakat menolak cadangan kerajaan negeri untuk menswastakan kuari tersebut kepada pihak lain tidak lama lagi.

Katanya, pekerja tersebut yang telah bekerja sejak puluhan tahun lalu bimbang jika kuari itu diswastakan akan menyebabkan masa depan mereka terjejas.

"Saya atau pegawai kanan CUEPACS akan berjumpa Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob untuk membincangkan mekanisme terbaik yang memberi keuntungan kepada kedua-dua pihak," katanya.

Omar berkata demikian kepada Utusan Malaysia selepas mengadakan pertemuan dengan 105 pekerja kuari Jabatan Kerja Raya (JKR) Pekan Awah di Institut Latihan Risda, Kampung Awah di sini hari ini.

Omar yakin kerajaan negeri dapat mengatasi isu itu kerana membabitkan masa depan masyarakat Melayu di kawasan berkenaan.

Beliau difahamkan mesyuarat Exco kerajaan negeri sebelum ini mengambil keputusan untuk menswastakan pengurusan kuari Pekan Awah kepada pihak kedua yang belum ditentukan.

Tambah beliau, keputusan tersebut mengejutkan pekerja kuari itu yang majoritinya berumur antara 30 hingga 50 tahun.

"CUEPACS akan mengambil tanggungjawab penuh untuk memantau kemajuan nasib pekerja kuari Pekan Awah bagi mengelakkan mereka teraniaya di bawah pengurusan swasta," katanya.

Omar juga memberitahu, pekerja diberi opsyen meneruskan kerja di bawah pengurusan baru atau berhenti.

"Kita bimbang berlaku ketidakadilan jika mereka dipaksa berhenti atau berlaku pengabaian di bawah pengurusan baru nanti," tegasnya.

Memorandum itu, katanya, mencadangkan kerajaan negeri memberi peluang dan opsyen untuk bertukar ke jabatan lain dalam JKR di negeri ini.

No comments: